Ekovest raih kontrak RTS Link bernilai RM1.98 bilion | DagangNews Skip to main content

Ekovest raih kontrak RTS Link bernilai RM1.98 bilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Julai – Ekovest Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ekovest Construction Sdn. Bhd. (ECSB) memperoleh kontrak bernilai RM1.979 bilion daripada Adil Permata Sdn Bhd (APSB) bagi projek rel laluan Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura (Projek RTS Link).

 

Penyertaan ECSB sebagai rakan kerjasama APSB dan kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan untuk melaksanakan pembinaan Projek RTS Link akan menambahkan lagi nilai kontrak pembinaan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Katanya, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Ekovest dan kumpulan syarikat.

 

"Projek RTS Link ini terdiri daripada sambungan ulang-alik kereta api sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands, Singapura," katanya.

 

APSB ialah kontraktor utama yang dilantik oleh Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS), pemaju dan pemilik infrastruktur awam bagi bahagian di Johor Bahru ke Singapura untuk Projek RTS Link.

 

Ekovest berkata, laluan untuk projek tersebut adalah sistem transit aliran ringan moden yang akan menyediakan sistem pengangkutan dengan volum yang tinggi, pantas dan cekap antara kedua-dua stesen.

 

"Malah, ia dapat mewujudkan pengangkutan alternatif yang akan membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen di kedua-dua negara," tambahnya.

 

Projek ini yang dijangka siap menjelang akhir 2026 akan menyediakan anggaran 10,000 penumpang sejam setiap arah melalui Johor Bahru ke Singapura sekali gus mengurangkan kesesakan di Tambak Johor-Singapura. - DagangNews.com