ECERDC tumpu pembangunan usahawan, pendidikan di Mersing | DagangNews Skip to main content

ECERDC tumpu pembangunan usahawan, pendidikan di Mersing

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyertai 70 pelajar dan dua jurulatih yang sedang mengikuti Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 menerusi satu tinjauan maya yang diadakan selepas mesyuarat ICC Johor.
 

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melalui kerjasama strategiknya dengan Agrobank dan Maybank, telah membangunkan seramai 92 usahawan di Mersing, Johor sejak 2018 hingga kini.

 

Seramai 31 usahawan lagi sedang menjalani pembangunan kualiti produk bersama SIRIM sebagai persediaan untuk menembusi pasaran yang lebih luas.

 

Program-program tersebut bukan sahaja membantu para usahawan yang terlibat untuk bertahan, malah mengembangkan perniagaan mereka sewaktu pandemik dengan memanfaatkan pengetahuan mengenai e-dagang dan pemasaran dalam talian serta bantuan kewangan yang disediakan.

 

Salah seorang daripada mereka ialah Rekha Alagapan, pemilik Ms Tan Agro Farm Sdn. Bhd. dan Maslina Selasa, pemilik Sate Nitar Enterprise yang merupakan peserta program entrepreneur ECER-Agrobank. 

 

Rekha telah memperluaskan ladangnya daripada 7 ekar menjadi 70 ekar, seterusnya berjaya meningkatkan jualan sayur organik beliau dari RM100,000 kepada RM200,000 sebulan. 

 

Sementara itu, Maslina mendapati jualannya meningkat lebih 100% dari RM32,000 kepada RM80,000 sebulan setelah beliau mula memasarkan produknya di platform dalam talian untuk penghantaran ke rumah. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, rakyat akan terus menjadi nadi utama transformasi sosioekonomi di Mersing.

 

"Ini kerana Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC komited untuk meneruskan program-program seperti empower ECER dan entrepreneur ECER untuk memastikan agar golongan B40 di Mersing diberikan kemahiran, pengetahuan dan peluang untuk mengekalkan perniagaan.

 

"Selain itu, ia juga meningkatkan prestasi akademik dan memperoleh kemahiran yang boleh dipasarkan yang akan membantu meningkatkan taraf hidup mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menyedari cabaran unik yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah sewaktu pandemik, ECERDC bersama-sama rakan strategiknya melalui empower ECER telah mengambil pendekatan holistik untuk membantu mereka mencapai keputusan akademik yang lebih baik. 

 

Para pelajar di daerah Mersing yang mengambil bahagian dalam program empower ECER telah menunjukkan peningkatan yang ketara dengan 90% daripada 200 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus dalam semua mata pelajaran, berbanding hanya 36% sebelum mereka mengikuti program ini.

 

Salah seorang pelajar terbabit, Izzati Omar, dari SMK Ungku Husin memperoleh 5A, 3B dan 1E dalam SPM 2020, peningkatan yang ketara berbanding keputusan 1B, 2C, 1D, 4E dan 1G yang diterimanya sebelum menyertai program empower ECER.

 

Izzati, yang ayahnya memperoleh RM70 sehari dengan menghantar ikan dari Endau ke Johor Bahru untuk dijual berkata, beliau bersyukur telah menyertai program empower ECER kerana dengan keputusan yang lebih baik, dia berupaya mengejar cita-citanya dan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan.

 

Selain daripada program latihan akademik, ECERDC turut memudah cara urusan penempatan pelajar-pelajar empower ECER di institusi-institusi pengajian tinggi atau pembangunan kemahiran. 

 

Sementara itu, untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik, ECERDC telah meneruskan usaha di bawah program Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran Penjana-ECERDC yang akan membolehkan para peserta mendapatkan pekerjaan dalam sektor automotif serta minyak dan gas setelah tamat mengikuti program tersebut.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah menyaksikan sendiri Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 apabila beliau menyertai 70 pelajar dan dua jurulatih yang menjalani pembelajaran dalam talian di bawah program tersebut selepas mesyuarat ICC Johor. 

 

Program perintis yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang Industri 4.0 (I4.0) di kalangan pelajar sedang berjalan sehingga 31 Julai 2021 yang melibatkan lebih daripada 3,100 pelajar di seluruh ECER.

 

Di samping itu, pertanian merupakan salah satu keutamaan untuk ECERDC di Mersing. Visi ECERDC adalah untuk mentransformasi ECER menjadi sebuah hab pengeluaran makanan utama negara melalui inisiatif agrofood@ECER yang kini sedang dalam perancangan, dan pada masa sama, menangani isu jaminan bekalan makanan negara serta mewujudkan pekerjaan dan peluang keusahawanan untuk rakyat. 

 

Antara projek-projek yang sedang dijalankan adalah Lembah Tenusu Jemaluang atau Jemaluang Dairy Valley (JDV) dan Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP).

 

Jemaluang Dairy Valley (JDV) adalah projek perniagaan tani utama yang memberi tumpuan kepada penternakan lembu tenusu. 

 

Projek ini berjalan mengikut perancangan dan ECERDC sedang memuktamadkan pemilihan syarikat induk yang akan melaksanakan projek tersebut pada bulan Oktober tahun ini. Apabila siap kelak, JDV dijangka akan meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11%.

 

Sementara itu, Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP) yang meliputi kawasan seluas 2.85 ekar, kini sedang dalam pembinaan dan akan mempunyai bilik sejuk berpusat, kemudahan pemprosesan produk ikan dan makanan laut, serta kemudahan kilang. 

 

ECERDC tetap komited dalam memastikan projek-projek pelancongan berimpak tinggi seperti Kampungstay di Air Papan yang merupakan pembangunan inap desa berasaskan komuniti, Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar, akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi penduduk tempatan dan pelancong, serta Rainforest Discovery Centre di Peta yang terletak di Taman Negara Endau-Rompin (Johor) berjalan seperti dirancang. Projek-projek ini akan membawa faedah jangka panjang bagi rakyat di Mersing.

 

Walaupun terdapat kekangan akibat pandemik yang telah mempengaruhi kemajuan sosioekonomi Mersing yang banyak bergantung kepada kegiatan pelancongan, ECERDC optimis bahawa sektor ini akan kembali pulih, terutama dengan perkembangan positif mengenai kelonggaran sekatan perjalanan untuk rakyat yang telah melengkapkan vaksinasi. - DagangNews.com