e-dagang seimbangkan penurunan sektor pelancongan | DagangNews Skip to main content

e-dagang seimbangkan penurunan sektor pelancongan

E-dagang. Gambar hiasan oleh Marotino INC

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Prestasi sektor e-dagang mencatatkan kadar pertumbuhan yang pesat sebanyak 87% di negara ini.

Laporan e-Conomy Asia Tenggara 2020 yang disediakan oleh Google, Temasek dan Bain & Company (e-Conomy SEA 2020) menyatakan, pertumbuhan positif itu memberi keseimbangan terhadap kekurangan sektor pelancongan.

"Sektor e-Dagang telah memacu kadar pertumbuhan yang pesat di Malaysia sebanyak 87%. 

"Peningkatan mendadak ini telah menyeimbangkan penurunan dalam sektor pelancongan," jelas e-Conomy SEA 2020 dalam laporan bagi Malaysia yang dikeluarkan hari ini.

Dalam laporan sama, e-Conomy SEA 2020 turut menjangkakan  nilai dagangan kasar (GMV) bagi tahun 2020 akan mencatatkan kenaikan.

Perkara itu dinilai berdasarkan kenaikan 6% dari tahun ke tahun.

 

 Jadual menunjukkan peningkatan mendadak sektor e-dagang berbanding tiga sektor lain iaitu pengangkutan & makanan, pelancongan dalam talian dan media dalam talian.
Jadual menunjukkan peningkatan mendadak nilai dagangan kasar (GMV) sektor e-dagang berbanding tiga sektor lain iaitu pengangkutan & makanan, pelancongan dalam talian dan media dalam talian.

 

"Secara keseluruhan, GMV 2020 dijangka mencapai jumlah nilai sebanyak AS$11.4 bilion pada tahun 2020, selepas
pertumbuhan pada kadar 6% dari tahun ke tahun. 

"Menjelang tahun 2025, jangkaan keseluruhan nilai e-Ekonomi akan mencapai sebanyak AS$30 bilion, dengan CAGR (kadar pertumbuhan tahunan dikompaun) memecut semula kepada 23%," tambah laporan itu lagi.

Sementara itu, teknologi bidang kesihatan dan pendidikan turut memainkan peranan penting sewaktu tempoh pandemik.

Kedua-dua bidang berkenaan menunjukkan kadar penggunaan yang memberangsangkan, namun masih belum sempurna dan perlu diatasi sebelum dikomersialkan dalam skala yang lebih besar.

"Walau apa-apapun, peningkatan penggunaan yang mendadak, ditambah dengan pendanaan yang berkembang pesat
berkemungkinan akan menggalakkan inovasi dalam ruang ini dalam tahun-tahun yang mendatang," jelas laporan itu. - DagangNews.com