Dua pekerja jadi pemegang saham utama saham BCM Alliance menerusi ESOS | DagangNews Skip to main content

Dua pekerja jadi pemegang saham utama saham BCM Alliance menerusi ESOS

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

SATU syarikat yang menjadi perhatian sekarang ialah BCM Alliance Berhad yang tersenarai di Papan ACE Bursa Securities.

 

Syarikat ini secara umumnya terlibat di dalam pembekalan dan pemasangan barangan konsumer dan penjagaan kesihatan. 

 

Jumaat lepas, syarikat ini mengumumkan telah melepaskan keseluruhan ekuitinya di dalam syarikat papan litar bercetak atau PCB iaitu BSL Corp Bhd dengan kerugian sebanyak RM5.51 juta. Alasan yang diberi ialah `ketidaktentuan pasaran’ dan konflik antara Rusia dan Ukraine.

 

BCM Alliance telah berbelanja RM7.13 juta untuk mengambil alih 4.29 juta saham atau 4.38% di dalam BSL di pasaran terbuka antara 25 ogos 2021 hingga 2 November 2021.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, BCM Alliance berkata, ia telah melupuskan keseluruhan kepentingannya di dalam BSL juga di pasaran terbuka antara 13 September 2021 dan 18 Februari 2022 pada harga RM8.32 juta.

 

Pengambilalihan saham itu asalnya dibiayai menerusi dana yang dijana secara dalaman, sementara hasil daripada pelupusan saham itu digunakan untuktujuan modal kerja.

 

BCM Alliance mengakui potensi BSL untuk terus berkembang, seperti cadangannya untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam segmen semikonduktor, yang bakal menyokong operasi pemasangan PCB sedia adanya.

 

BSL juga dijangka mengembangkan segmen tenaga hijaunya, yang dijangka menyumbang kepada keuntungan operasi yang lebih tinggi kelak.

 

“Bagaimanapun, disebabkan ketidaktentuan pasaran sekarang dan konflik berterusan antara Rusia dan Ukraine, syarikat memutuskan untuk melupuskan keseluruhan kepentingan di dalam BSL,’’ kata BCM Alliance.

 

Meskipun mencatat kerugian akibat pelupusan ekuiti di dalam BSL, syarikat BCM Alliance masih mampu meraih keuntungan sebanyak RM1.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, maka transaksi itu tidak dijangka memberi kesan material kepada perolehan sesaham, aset bersih sesaham, modal saham dan pegangan saham utama syarikat.


 

bcm

 


Kuasai syarikat menerusi ESOS

Perkembangan pada 25 Februari lepas, mengundang ingatan kepada kejadian di BCM Alliance apabila mengumumkan dua kakitangannya, Kiu Cu Seng dan Cik Cheng Li Ping muncul sebagai pemegang saham utama selepas menunaikan hak skim opsyen saham pekerja atau ESOS pada Januari 2022.

 

Menurut makluman yang difailkan oleh BCM Alliance kepada Bursa Malaysia bertarikh 20 Januari 2022, kedua-dua Kiu Cu Seng dan Cheng Li Ping, telah  melaksanakan sejumlah 469.41 juta saham (jumlah saham ESOS yang ditawarkan di bawah skim itu) pada harga 2.91 sen setiap satu.

 

Kiu melaksanakan kira-kira 305.12 juta saham atau bersamaan 15% kepentingan, menjadikan beliau pemegang saham terbesar BCM Alliance, diikuti oleh Cheng yang melaksanakan opsyen sebanyak 164.29 juta saham atau 8.08% kepentingan dalam syarikat.

 

Ini menjadikan mereka pemegang saham terbesar BCM Alliance dengan gabungan kepentingan 23% selepas pelaksanakan ESOS.

 

Semakan di laman web Boardroom Alpha menunjukkan Kiu, 33, telah berkhidmat sebagai akauntan kumpulan untuk BCM Alliance, Sanichi Technology Bhd dan Trive Property Group Bhd sejak Mac 2021.

 

Tanggungjawab beliau dikatakan tertumpu kepada perkara berkaitan penyatuan kumpulan.

 

Nama beliau juga disebut sebagai ketua pegawai kewangan Energem Corp., sebuah ‘shell company’ (syarikat pelindung yang hanya wujud di atas kertas, tanpa pekerja dan tiada pejabat) yang tersenarai di Nasdaq. Energem telah disenaraikan pada 16 November 2021 dengan harga tawaran awam permulaan AS$10 seunit untuk 10 juta unit.

 

Sementara itu, tiada maklumat dijumpai tentang Cik Cheng.

 

Dalam tempoh 14 bulan yang lalu, BCM Alliance telah menerbitkan 1.08 bilion saham baharu melalui terbitan hak dan penempatan persendirian untuk mengumpul dana.

 

Kini ia mempunyai saham asas berjumlah kira-kira dua bilion saham, meningkat tiga kali ganda daripada 625.88 juta saham pada 31 Mac 2021.

 

Pada masa yang sama, harga saham BCM Alliance terus merudum daripada 32.5 sen (harga tertinggi dalam tempoh 52 minggu) kepada harga semasa 3.5 sen setakat 17 Februari.


 

bcm
BCM Alliance juga memperoleh kontrak membekalkan kit ujian COVID-19 menerusi subsidiari milik penuhnya, BC Medical.

 


Penawaran ESOS

Menyorot kembali peristiwa ini, pada Februari 2021, BCM Alliance mencadangkan untuk menamatkan skim ESOS bagi tempoh lima tahun yang dimulakan pada 25 Ogos 2020.

 

ESOS sebelum ini merangkumi terbitan sehingga 15% daripada modal saham terbitan Syarikat kepada pengarah dan pekerja yang layak.

 

Tidak lama selepas itu, BCM Alliance mengeluarkan cadangan ESOS bagi tempoh lima tahun yang baharu yang melibatkan sehingga 30% daripada jumlah bilangan saham terbitan syarikat untuk pengarah dan pekerja syarikat serta anak syarikat yang layak.

 

Menurut BCM Alliance, pelaksanaan ESOS juga bertujuan mengekalkan individu yang layak dengan memberikan mereka rasa pemilikan, kesetiaan dan kepunyaan terhadap kumpulan dengan membolehkan mereka mengambil bahagian melalui pemilikan ekuiti dalam syarikat.

 

Sebarang hasil daripada ESOS akan digunakan untuk tujuan modal kerja syarikat.

 

Harga pelaksanaan ESOS yang ditawarkan kepada pekerja ialah 2.91 sen sesaham, mewakili diskaun kira-kira 17% kepada harga penutup saham BCM Alliance pada 12 Januari iaitu 3.5 sen apabila tawaran itu dibuat.

 

Memandangkan ESOS ditawarkan pada harga saham yang telah diberi diskaun, agak pelik apabila didapati tiada pekerja lain mengambil saham yang ditawarkan.

 

MWSG ambil perhatian

Ketua Pegawai Eksekutif Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad (MSWG), Devanesan Evanson yang meneliti situasi BCM Alliance itu turut melahirkan kehairanan.


 

Devanesan Evanson
        Devanesan Evanson

 


Skim ESOS adalah skim insentif yang menawarkan pilihan kepada pekerja untuk membeli saham syarikat mereka pada harga tertentu sama ada dalam tempoh masa tertentu atau apabila mencapai tahap tertentu.

 

ESOS merupakan suatu platform untuk memberikan ganjaran kepada pekerja yang berbakat dengan cara memberikan motivasi, mengekalkan serta memperuntukkan insentif iaitu dengan membenarkan mereka mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekuiti syarikat.

 

Bagaimanapun kata Devanesan, ESOS yang dicadangkan oleh BCM Alliance Berhad telah mengundang perhatian ramai.

 

Walaupun ESOS biasanya ditawarkan kepada semua pekerja, hanya dua pekerja mengambil ESOS yang ditawarkan. Mengapakah kakitangan lain tidak merebut tawaran ESOS ini? Adakah mereka diberikan peluang yang serupa?

 

‘’Ini adalah kerana ESOS yang ditawarkan adalah pada diskaun yang tinggi berbanding harga pasaran,’’ kata Devanesan.

 

Harga pelaksanaan opsyen yang ditawarkan ialah 2.91 sen manakala harga pasaran saham Syarikat pada tarikh tawaran ditutup ialah 3.5 sen.

 

Ketika bursa ditutup pada 25 Februari 2022, saham BCM Alliance adalah 29 sen sesaham memberikan nilai pasarannya sebanyak RM62.78 juta.

 

‘’Kiu dan Cheng pastinya berkedudukan kerana mereka mampu mengeluarkan RM13.66 juta kerana ia jumlah yang besar untuk sesiapa sahaja untuk melaksanakan 469.41 juta saham ESOS.

 

‘’Pemegang saham perlu mendapatkan penjelasan mengenai tawaran ESOS yang mencetuskan pelbagai persoalan ini pada mesyuarat agung BCM Alliance yang akan datang,’’ kata Devanesan. – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Broken Wings - Mr. Mister berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.