Skip to main content

'Drama' belum berakhir, Indonesia mungkin umum beberapa perubahan dasar minyak sawitnya - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Mei - Keputusan kerajaan Indonesia menarik balik larangan eksport minyak sawit mulai 23 Mei ini dilihat akan mengakibatkan pembetulan kepada harga minyak sawit mentah secara mendadak.

 

Dengan penarikan semula larangan itu yang mula berkuat kuasa sejak 28 April lalu, dijangka dapat mengurangkan kebimbangan mengenai situasi bekalan minyak sayur-sayuran, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Ini kerana katanya, output minyak sawit mentah Indonesia menyumbang lebih daripada 20% pengeluaran minyak sayur-sayuran dunia.

 

"Tetapi, kami percaya harga minyak sawit mentah akan terus kekal tinggi di sebalik berlakunya jangkaan pembetulan secara mendadak.

 

"Situasi ini disebabkan ketidaktentuan output daripada pengeluar utama minyak biji-bijian (seperti kacang soya, jagung dan bunga matahari," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah bagi 2022 sekitar RM5,500 satu tan metrik. Bagi 2023 dan 2024 pula, ia diunjur kekal pada RM4,500 satu tan metrik.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan susulan harga minyak yang dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat.

 

 

sawit

 

 

Presiden Joko Widodo semalam berkata, Indonesia akan menarik balik larangan eksport minyak sawitnya mulai Isnin ini berikutan penambahbaikan dalam bekalan minyak masak domestiknya.

 

Menurutnya, bekalan minyak masak pukal kini telah mencapai tahap lebih tinggi daripada keperluan,
walaupun harga pukal masih belum surut kepada sasaran 14,000 rupiah seliter.

 

Baca : Jokowi isytihar tamat larangan eksport minyak sawit Indonesia mulai Isnin

 

Pengeksport minyak sawit terbesar di dunia itu pada 28 April lalu, telah menghentikan penghantaran minyak sawit mentah dan beberapa produk derivatif untuk cuba mengekang kenaikan harga minyak masak domestik yang melambung tinggi, tindakan yang mengejutkan pasaran yang sudah pun bergelut dengan langkah campur tangan kerajaan sebelum ini.

 

Susulan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian akan terus memantau situasi terkini yang melibatkan perubahan polisi Indonesia bagi  memastikan industri sawit yang merupakan komoditi utama negara terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Menurutnya, harga minyak sawit mentah melonjak melepasi paras RM7,000 satu tan metrik sehingga mencecah paras tertinggi iaitu RM7,516 satu tan metrik berikutan tindakan Indonesia untuk mengharamkan eksport minyak sawit sejak 3 minggu lalu.

 

Baca : Malaysia pantau perkembangan di Indonesia, yakin permintaan minyak sawit mentah kekal stabil - Zuraida

 

 

Sementara itu, RHB Research memilih untuk berpendirian 'neutral' dengan menyifatkan situasi di Indonesia mungkin belum berakhir.

 

Firma itu menjangkakan lebih banyak perubahan dasar akan dilaksanakan, kerana harga minyak masak pukal masih belum turun ke tahap yang disasarkan.

 

Malah, katanya, keputusan penarikan balik larangan itu boleh mengakibatkan kekurangan dalam negeri berulang.

 

"Walaupun harga minyak sawit mentah boleh menurun disebabkan keputusan ini, namun harga saham syarikat perladangan di Indonesia mungkin meningkat. 

 

"Kami akan menggunakan peluang ini untuk mengambil sedikit keuntungan, memandangkan ketidaktentuan yang berterusan di Indonesia dan potensi peningkatan dalam levi eksport, yang boleh menjejaskan keuntungan," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu mendapati beberapa perubahan dasar yang telah dipertimbangkan termasuk menaikkan harga siling minyak masak pukal kepada 17,000 rupiah seliter, pelantikan entiti kerajaan untuk membeli olein harga terkawal daripada pengeluar bagi memastikan bekalan ke pasaran domestik, berpotensi menaikkan levi eksport untuk mengetepikan wang khusus untuk subsidi minyak masak, malah mungkin memulakan semula skim obligasi pasaran domestik (DMO) dengan parameter berbeza.

 

sawit

 

 

AmInvestment Bank Research pula menyifatkan keputusan yang diambil Indonesia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kepada pemain pasaran memandangkan penarikan balik itu sudah dijangkakan pada akhir Mei.

 

Katanya, tangki simpanan tidak mencukupi di Indonesia, terutamanya pengeluaran minyak sawit mentah dijangka meningkat pada ketika tempoh pengeluaran puncak pada separuh kedua 2022.

 

"Kami percaya harga minyak sawit mentah akan melemah berikutan peningkatan bekalan daripada penarikan balik larangan eksport ini.

 

"Ini kerana pengilang dan syarikat penapisan di Indonesia akan memindahkan produk sawit mentah dan ditapis dari tangki simpanan untuk dieksport," jelasnya. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor perladangan, memandangkan bekalan minyak sawit juga akan meningkat apabila pekerja asing mula memasuki sektor perladangan pada musim pengeluaran puncak, separuh kedua ini. 

 

Dalam dagangan pagi ini, Indeks Bursa Malaysia Plantation adalah antara yang mencatat beberapa kerugian dalam pasaran yang lebih luas berikutan penarikan balik Indonesia terhadap larangan eksport minyak sawit.

 

Indeks itu diheret turun terutamanya menerusi kaunter Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) yang setakat 12.05 tengah hari ini, susut 14 sen atau 0.52% kepada RM26.76.

 

Sementara itu, Sime Darby Plantation Bhd. juga susut 8 sen atau 1.53% kepada RM5.15 diikuti IOI Corp. Bhd. susut 5 sen atau 1.14% kepada RM4.34 sesaham. - DagangNews.com