Dimensi baharu Pernas perkasa usahawan francais | DagangNews Skip to main content

Dimensi baharu Pernas perkasa usahawan francais

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

PENJENAMAAN SEMULA Perbadanan Nasional Berhad yang kini dikenali sebagai Pernas menyaksikan peranan agensi tersebut semakin meluas terutama dalam membantu memperkasa golongan usahawan di negara ini dalam industri francais. 

 

Melalui aspirasinya, 'Memperkasa pertumbuhan, menghubungkan peluang', Pernas komited dalam menyediakan ekosistem francais yang kondusif dan menyeluruh.

 

Sebagai syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Pernas diberi mandat untuk membangunkan industri francais negara sejak 2004.  

 

Dalam tempoh itu, Pernas sentiasa aktif dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merancakkan industri francais negara, antaranya, membangunkan jenama baharu dan membawa jenama luar ke Malaysia bagi memberi kepelbagaian pilihan kepada pengguna.

 

pernas

 

Jika kita masih ingat lagi, penggemar sosej pastinya tidak dapat melupakan keenakan hotdog 1901. Lebih menarik, ia adalah antara jenama francais yang cukup popular di negara ini dan dimiliki oleh Pernas.

 

Selain itu, Pernas juga merupakan pemegang francais induk bagi jenama Gloria Jean’s Coffees (GJC) dan juga pemegang saham jenama Abdul Samad Al-Qurashi (ASQ), syarikat minyak wangi terkenal dari Arab Saudi.

 

Setakat Julai tahun ini, GJC mempunyai 44 cawangan di seluruh negara manakala 1901 pula berkembang kepada 21 outlet. ASQ pula sudah beroperasi di Melawati Mall dan Menara Pernas. 

 

Berdasarkan kepada penglibatan terus Pernas dalam perniagaan francais ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor berkata, ia secara tidak langsung membuktikan peranan Pernas bukan sekadar membimbing usahawan semata-mata tetapi turut menguruskan jenama-jenama francais di bawahnya.  

 

"Banyak kelebihan dengan menyertai perniagaan francais ini terutama jenamanya yang dikenali dan model perniagaan juga terbukti berjaya di pasaran," katanya dalam temu bual bersama media baru-baru ini.

 

Menurutnya lagi, jenama francais tempatan  turut diterima dengan baik di luar negara, terutama dalam bidang pendidikan dan makanan seperti Marrybrown, Tealive, GlobalArt dan Genius Aulad.

 

Secara dasarnya, industri francais di negara ini dimonopoli oleh segmen makanan dan minuman merangkumi 36.2% diikuti perkhidmatan dan penyelenggaraan, 15.6% dan pakaian dan aksesori, 10.6%. 

 

Dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan francais membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan, Pernas menyediakan pelbagai skim pembiayaan yang bersesuaian untuk para francaisor dan francaisi. 

 

 

pernas

 

 

 

Skim pembiayaan dan program BIT

 

Mohd. Hilaluddin menjelaskan, Pernas menawarkan pelbagai skim pembiayaan kepada francaisor seperti Skim Pra Francais dan Francaisi Induk serta Skim Pembiayaan Francaisor bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan di Malaysia dan juga ke peringkat antarabangsa. 

 

"Pernas juga membantu usahawan yang mempunyai perniagaan atau produk tempatan yang berupaya untuk dikembangkan melalui sistem francais.

 

"Kami juga mempunyai Dana Bantuan Perniagaan Francais iaitu geran berbentuk bayaran balik ke atas kos yang dibelanjakan untuk membangunkan sistem francais dengan had maksimum RM100,000," jelas beliau.

 

Bagi francaisi pula, katanya, Pernas menyediakan bantuan kewangan bagi menggalakkan golongan bumiputera dalam sektor awam dan swasta serta koperasi berdaftar untuk menceburi bidang francais. 

 

"Bantuan ini memberi tumpuan kepada mereka yang berhasrat untuk berhenti kerja melalui skim pemberhentian sukarela (VSS) atau bersara awal," tambahnya. 

 

Ditanya mengenai peranan Pernas dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau berkata, terdapat program khusus untuk mereka iaitu Business In Transformation (BIT). 

 

Program ini antara lain menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan francais mampu milik agar lebih ramai bakal usahawan boleh menceburi bidang francais.

 

Ini kerana katanya, Pernas melihat PKS memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan tahun lalu, ia menyumbang sebanyak 38.2% iaitu RM512.8 bilion daripada RM1,343.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Sehingga kini, menurut beliau, sebanyak 142 syarikat daripada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, peruncitan, perkhidmatan dan pendidikan telah mendaftar menerusi program BIT. 

 

"Berdasarkan kepada inisiatif ini, Pernas akan menjadi salah sebuah agensi yang akan membantu hasrat  MEDAC untuk  melahirkan 100 jutawan setiap tahun dalam kalangan usahawan PKS," katanya. 

 

 

pernas
Para usahawan yang menyertai program BIT berpeluang menimba ilmu daripada francaisor terkenal, Marrybrown yang diadakan sekitar 2019.

 

 

 

Pibly sebagai e-marketplace

 


Seiring dengan peredaran semasa yang menuntut golongan usahawan menguasai aspek pendigitalan, Pernas kini mengambil inisiatif memperkenalkan platform e-dagang, Pybli sebagai e-marketplace untuk usahawan francais dan usahawan PKS. 

 

"Sama seperti platform lain iaitu Foodpanda mahupun Grab, matlamat kami juga supaya Pybli dapat membantu usahawan-usahawan kecil menjual produk mereka. 

 

"Tidak terhad kepada usahawan francais  sahaja, platform ini membolehkan peniaga goreng pisang atau keropok lekor umpamanya menyertai e-marketplace ini sekali gus dapat membantu mereka meningkatkan jualan," jelas Mohd. Hilaluddin. 

 

Beliau berkata, Pybli ini dibangunkan bersesuaian dengan norma baharu ekoran penularan pandemik COVID-19 yang memerlukan usahawan beralih kepada perniagaan dalam talian. 

 

Platform ini menyediakan pasaran digital yang direka khusus untuk perniagaan francais, usahawan BIT di bawah Pernas dan PKS. Inisiatif ini adalah pelengkap kepada ekosistem francais yang disediakan oleh Pernas.

 

"Dengan adanya Pybli, usahawan tidak perlu melabur kos yang tinggi untuk membangunkan platform e-dagangnya sendiri dan mengurangkan kos operasi seperti kedai, pekerja, bayaran bil dan sebagainya.

 

"Selain itu, mereka juga boleh menikmati bantuan pemasaran dan latihan percuma, tawaran 0% komisen, pendaftaran percuma dan yuran transaksi yang rendah berbanding portal e-dagang yang lain," katanya.

 

Sehingga kini, terdapat 343 usahawan kecil yang berdaftar di bawah Pybli dan Pernas menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan mereka dari semasa ke semasa. 

 

Malah, beliau juga memberitahu, Pernas mempunyai perancangan untuk menjadikan Pybli sebagai salah satu aplikasi yang mana setakat ini beroperasi di laman web. 

 

"Kami berharap dengan adanya Pybli yang dibangunkan oleh Pernas dapat menyelesaikan isu orang tengah seperti yang ditawarkan platform e-dagang lain ketika ini," tambah beliau. 


pernas
Pybli merupakan inisiatif Pernas untuk menggalakkan penyertaan usahawan ke arah pendigitalan.

 

 

 

Inisiatif baharu Pernas tangani situasi pandemik 

 

Bagi menambahbaik ekosistem francais di negara ini, Pernas turut melancarkan 2 projek baharu awal tahun ini dalam usaha menyokong hasrat mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 5 tahun. 

 

Menerusi projek Be Your Own Boss (BYOB), terdapat 2 program di bawahnya iaitu Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) untuk wanita dan program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) untuk golongan belia.

 

Mohd. Hilaluddin berkata, Pernas menyasarkan untuk melahirkan 1,000 francaisi melalui program tersebut.

 

Katanya, Pernas yakin angka tersebut akan dapat dicapai dengan adanya pelbagai panduan dan latihan komprehensif, pembiayaan dan akses kepada pasaran semasa yang diberikan kepada para peserta BYOB.

 

"Sejak diperkenalkan, lebih daripada 578 peserta telah mendaftar untuk mengikuti program ini. 

 

"Daripada jumlah tersebut, 215 peserta telah menamatkan latihan dan 224 peserta pula di dalam proses pemadanan perniagaan," katanya. 

 

Sementara itu, bagi projek Xcelerator pula, Pernas giat membantu usahawan sedia ada untuk memacu perniagaan mereka ke arah francais dalam masa yang ditetapkan.  

 

Menurutnya, inisiatif Pernas ini dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia yang semakin bertambah khususnya ketika rakyat Malaysia berhadapan dengan kehilangan pekerjaan ketika penularan COVID-19.

 

"Selain itu, ia juga membantu memupuk minat masyarakat untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama," tambahnya. 

 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik ini, Pernas menyediakan program RECURVE yang menawarkan dana tambahan kepada usahawan bagi memulihkan perniagaan.

 

Katanya, sebanyak RM20 juta diperuntukan bagi tujuan ini yang memberi manfaat kepada lebih 350 usahawan francais Pernas sedia ada.

 

Pernas turut menyediakan kemudahan moratorium kepada peminjam yang layak bagi semua pembiayaan selama 6 bulan bermula Jun sehingga November 2021.

 

Di samping itu, penjadualan semula pinjaman juga diberikan bagi semua pembiayaan yang layak selepas berakhir tempoh moratorium. 

 

"Bantuan ini kami tawarkan kepada peminjam yang mempunyai rekod bayaran semula yang baik iaitu tunggakan tidak melebihi 6 bulan.

 

"Untuk tahun ini, sebanyak 337 usahawan telah diluluskan permohonan moratorium berjumlah RM9.32 juta," jelas beliau. - DagangNews.com