Dilema wanita Islam Singapura: Kerja atau tudung? | DagangNews Skip to main content

Dilema wanita Islam Singapura: Kerja atau tudung?

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Walaupun wanita Singapura yang beragama Islam bebas untuk mengenakan pemakaian tudung di setiap sudut negara itu, namun tidak bagi semua sektor pekerjaan. 

Menyelami luahan salah seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Farah, 27, dia perlu membuka tudung setiap kali memulakan pekerjaan di sebuah hospital kerajaan di Singapura. 

“Mereka memberitahu saya tidak boleh kerja di sini kalau pakai tudung. 

“Saya rasa tidak berdaya, ini tidak adil. Mengapa tudung menjadi penghalang untuk mencari pekerjaan?” soalnya seperti dipetik Reuters. 

Kini, Farah merupakan salah seorang daripada rakyat Islam di negara itu menggesa untuk sekatan berkenaan untuk berakhir menerusi satu petisyen dalam talian yang telah mengumpulkan lebih 50,000 tanda tangan. 

 

Halimah Yacob
Halimah Yacob

 

Ironinya, Presiden wanita pertama Singapura, Halimah Yacob, yang memakai tudung mengatakan bahawa ‘tiada ruang’ untuk diskriminasi apabila diminta mengulas mengenai isu berkenaan. 

Di laman media sosial, ramai yang mengutarakan sekatan pemakaian tudung masih ada bagi sesetengah sektor penjawat awam termasuk jururawat dan polis. 

Isu berkenaan bukan sesuatu yang baharu di Singapura di mana majoriti rakyatnya berbangsa Cina dan beragama Buddha serta Kristian. 

Pada tahun 2013, Menteri Hal Ehwal Islam ketika itu, Yaacob Ibrahim berkata, pemakaian tudung di tempat kerja akan menjadi sangat bermasalah bagi sesetengah pekerjaan yang memerlukan pemakaian uniform. 

Tahun berikutnya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika mengulas isu hijab itu mengaitkanya dengan kenyataan, ‘masyarakat bagaimana yang kita mahu wujudkan di Singapura’.

Bagaimanapun, kementerian kesihatan dan pasukan polis Singapura enggan memberi sebarang komen berhubung perkara tersebut. - DagangNews.com