Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 3 January 2022

anekdot

DILEMA MENDIGITALKAN INDUSTRI PERANCANGAN HARTA DAN PENGURUSAN PUSAKA DI MALAYSIA

 

 

TAHUN 2021 telah melabuhkan tirainya. Pelbagai ujian hebat melanda negara sepanjang 2021 yang telah meletakkan negara kita di dalam keadaan yang sukar.

 

Bermula dari cabaran pandemik COVID-19 yang menyebabkan ekonomi rakyat dan negara terjejas dengan teruk sehinggalah tragedi banjir yang menambah beratkan lagi ujian yang sedia ada.

 

Perangai politikus yang seperti tikus yang membaiki labu dan seperti tikus yang lari bersembunyi di dalam lubang tinggi untuk menyelamatkan diri sendiri ketika banjir, juga tidak membantu memulihkan situasi yang sudah serba teruk di Malaysia. Suka atau tidak kita mesti mengakui hakikat bahawa negara kita berada di dalam keadaan sukar.

 

Ia memerlukan anjakan paradigma yang sangat besar dalam kalangan rakyat bagi memulihkan keadaan ini secara bersendirian tanpa bantuan mana-mana pihak termasuklah bantuan dari orang yang kita undi dan angkat kononnya sebagai ‘pemimpin’ kita. Slogan ‘kita jaga kita’ memang sangat bertepatan di dalam konteks hari ini.

 

Walaupun demikian, di dalam penulisan pertama saya di dalam tahun 2022 ini, saya tidak mahu menghuraikan lagi kekecewaan rakyat terhadap kelemahan dan kelembapan pimpinan dalam mengemudi negara mengharungi semua ujian ini.

 

Ia sudah nyata bak terang yang tidak perlu disuluh bahawa rakyat sangat kecewa dan marah dengan kelemahan ini. Biarlah kekecewaan ini rakyat manifestasikan di peti undi ketika PRU-15 nanti.

 

Wasiyyah

 

Isu yang ingin saya ulas minggu ini ialah isu dilema yang Wasiyyah Shoppe Berhad hadapi di dalam usaha kami mendigitalkan industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia.

 

Satu dunia sedang dan telah bergerak ke arah dunia digital. Segala-gala yang dibangunkan hari  ini terkait dengan IOT, AI, blockchain dan IR4.0. Sebaik sahaja pandemik COVID-19 melanda dunia dan sehinggalah hari ini, saya secara peribadi melihat terdapat perubahan kelakuan pengguna yang ketara dalam isu pewarisan harta pusaka di Malaysia.

 

Walaupun kesedaran masyarakat semakin tinggi tentang betapa pentingnya mereka merancang harta kerana nyawa yang kelihatannya sangat rapuh di musim pandemik ini, mereka kini mencuba sedaya-upaya untuk merancang harta mereka tanpa perlu bertemu dengan sesiapa.

 

Mereka agak keberatan untuk membenarkan daie Wasiyyah Shoppe Berhad untuk datang bertemu mereka di rumah atau di mana-mana lokasi kerana kebimbangan tentang penyebaran wabak ini. Transaksi tanpa bersua kini menjadi trend yang ketara.  

 

Maka semenjak itu jugalah Wasiyyah Shoppe Berhad telah menumpukan usaha untuk  membangunkan kaedah perancangan harta secara dalam talian.

 

Banyak perbincangan ilmiah dan perundangan telah kami lakukan bagi memastikan kaedah dalam talian ini bukan sahaja memudahkan masyarakat malah lebih penting lagi ia juga berkuatkuasa dari segi undang-undang.

 

Alhamdulillah pada bulan Mei 2020, dua bulan selepas PKP pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, kaedah akad hibah secara dalam talian Wasiyyah Shoppe Berhad telah dilancarkan.

 

Melalui kaedah ini, masyarakat tidak perlu bertemu sesiapa pun untuk melaksanakan akad hibah mereka.

 

Wasiyyah

 

Pemberi dan Penerima hibah boleh berada di mana-mana lokasi di seluruh dunia tanpa bersemuka dan akad hibah tetap boleh dilaksanakan asalkan terdapat akses internet.

 

Alhamdulillah, pengenalan kaedah ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan membantu masyarakat.

 

Hasilnya walaupun dengan siri PKP yang seakan tidak berhabisan sepanjang 2020 sehingga 2021 yang menyekat pelbagai pergerakan fizikal dan sosial masyarakat, Wasiyyah Shoppe Berhad telah berjaya mencatatkan prestasi kewangan terbaik dalam sejarahnya hasil kejayaan  membantu hampir 7,000 orang pelanggan menyempurnakan hibah mereka secara dalam talian di dalam  tempoh tersebut.

 

Sehingga hari ini usaha pendigitalan ini masih berterusan di Wasiyyah Shoppe Berhad dan saya sangat yakin ia tidak akan berhenti kerana pelbagai teknologi baru muncul setiap hari dan saya bersama pasukan saya juga mempunyai pelbagai idea bagaimana masyarakat dapat dibantu dengan lebih baik dalam urusan perancangan harta secara digital.   

 

Sebenarnya semenjak 2015 lagi, di dalam perbincangan saya dengan pihak-pihak berkepentingan, saya selalu melontarkan persoalan ini.

 

Sampai bila kita perlu menguruskan fail-fail kertas yang menimbun-nimbun dalam urusan kes di Mahkamah? Semakin hari kes semakin banyak dan fail juga semakin menggunung.

 

Apa jadi jika fail-fail ini hilang atau rosak akibat kebakaran atau banjir? Banjir yang melanda Malaysia hari ini telah terbukti sangat menakutkan dan Mahkamah juga tidak terkecuali dari ditenggelami banjir.

 

Apa akan jadi perjalanan kes? Urusan penyimpanan fail secara fizikal ini menjadi bebanan tanggungjawab, kerja dan kos kepada semua pihak yang terlibat.

 

Ketika dunia sedang bergerak ke arah digital dan tanpa kertas, kita masih terperangkap di dalam cara kerja lama yang tidak produktif.  

 

jakim

 

Alhamdulillah pada 2018 satu Arahan Amalan telah dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang menetapkan bahawa dokumen digital boleh diterima sebagai bukti untuk perbicaraan di Mahkamah Syariah Malaysia.

 

Perkembangan ini memberi satu suntikan semangat baru kepada Wasiyyah Shoppe Berhad. Sebagai pemain industri, arahan ini membuka peluang kepada Wasiyyah Shoppe Berhad untuk memperkenalkan lebih banyak  teknologi terkini bagi di aplikasi di dalam perundangan Syariah di Malaysia.

 

Namun usaha pendigitalan sepenuhnya bagi industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia  masih tersekat kerana di sisi undang-undang Sivil, dokumen seperti wasiat, surat kuasa wakil dan surat ikatan amanah masih perlu dicetak secara fizikal, ditandatangani secara fizikal dan disaksikan (attested) secara fizikal juga.

 

Sekatan ini dinyatakan di dalam Akta Perdagangan Elektronik (Electronic Commerce Act) 2016 seksyen 2. Ini bermakna sama ada suka atau tidak, masyarakat masih perlu berurusan dengan cara lama ini jika mereka ingin menyediakan wasiat, surat kuasa wakil atau surat ikatan amanah.

 

Namun di dalam seksyen tersebut juga memperuntukkan menteri yang berkenaan mempunyai kuasa untuk mengubah atau membatalkan senarai dokumen yang dinyatakan di dalam jadual kepada seksyen tersebut.

 

Saya harap bagi kepentingan awam dan dengan tujuan untuk memacu industri ini ke arah pendigitalan, menteri yang berkenaan dapat dengan segera melihat kepada peruntukan seksyen ini dan menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya untuk mengubah atau membatalkan senarai tersebut.   

 

Seorang sahabat saya di London dengan terujanya menceritakan kepada saya tentang inisiatifnya  membangunkan aplikasi wasiat secara dalam talian.

 

Di United Kingdom, mereka sudah lama menerima wasiat secara dalam talian sebagai bukti di Mahkamah. Malah di kebanyakan negara di dalam dunia juga, bukti digital diiktiraf sebagai bukti yang kukuh bagi tujuan perancangan harta.

 

Wasiyyah

 

Di Malaysia saya berharap sangat agar pemimpin yang memiliki kuasa untuk melihat dan bertindak terhadap isu ini.

 

Inilah dilema yang kami hadapi di dalam usaha mendigitalkan industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia.

 

Di dalam urusan harta pusaka seorang muslim warganegara Malaysia, kedua-dua set undang-undang iaitu Syariah dan Sivil perlu dilalui.

 

Ia masih tidak membantu memudahkan masyarakat jika Mahkamah Syariah menerima dokumen digital sedangkan Mahkamah Sivil masih tidak menerimanya.   

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami bersedia memerah otak dan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak di dalam usaha pendigitalan namun jelas kerangka undang-undang tidak menyokong sepenuhnya usaha ini.

 

Doa saya pada tahun 2022 ini, pemimpin Kerajaan kita akan lebih berperanan di dalam membantu masyarakat termasuk di dalam isu pendigitalan ini dan kurangkan berpolitik (walaupun PRU-15 dijangka akan berlaku dalam tempoh kurang dari 1 ½ tahun dari sekarang).

 

Apa pun saya mengucapkan Tahniah dan sangat berterima kasih kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang sangat ‘forward thinking’ dengan mengeluarkan arahan amalan tersebut.

 

Selamat Tahun Baru 2022. Moga Allah lindungi Malaysia.       

 

    

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags