Digi Business tawar penyelesaian digital bantu peniaga kecil | DagangNews Skip to main content

Digi Business tawar penyelesaian digital bantu peniaga kecil

 

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Digi Business meneruskan komitmennya untuk membantu perniagaan kecil dan mikro di negara ini dengan penyelesaian digital dan pelan mudah alih bernilai lebih daripada RM150,000.

 

Malah, Digi Business telah berganding bahu bersama Astro Radio dalam program #KamiCareMbiz, inisiatif yang bertujuan meningkatkan aktiviti perniagaan dengan menghebahkan produk dan perkhidmatan perniagaan melalui saluran milik Astro radio seperti ERA, MY, HITZ, MIX, Sinar, Lite, RAAGA, Gegar, Melody, Zayan, GoXuan, dan Syok. 

 

Ketua Pegawai Perniagaan Digi, Eugene Teh berkata, program #KamiCareMbiz telah mewujudkan kesedaran secara efektif terhadap pelbagai perniagaan melalui promosi percuma di udara, dan pihaknya ingin melanjutkan lagi sokongan yang diberikan kepada perniagaan ini. 

 

"Peraturan demi peraturan telah dikuatkuasakan setakat ini yang membataskan pergerakan kita, justeru usahawan kecil dan mikro perlu memanfaatkan alatan dan pendekatan digital untuk menjamin kelangsungan perniagaan mereka. 

 

"Kami komited untuk menjadi rakan digital yang diyakini dan ingin membantu mereka bangkit semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pemilik perniagaan yang terpilih melalui program #KamiCareMbiz akan menerima pakej solusi digital dan pelan mudah alih daripada Digi Business. 

 

Ia meliputi akses ke atas alatan digital seperti Avana, altHR dan Omni, selain menerima manfaat geran Digitalisasi PKS Penjana. 

 

Untuk mengambil bahagian, pemilik perniagaan perlu membuat penyertaan dan menjawab bagaimana solusi digital Digi Business boleh membantu perniagaan mereka. 

 

Kunjungi laman web setiap saluran radio yang berkenaan untuk maklumat lanjut mengenai program ini. 

 

Di samping itu, Digi Business juga sedang meneruskan usahanya untuk membantu pemilik perniagaan melangkah ke dunia digital, agar mereka dapat menjimatkan kos, meningkatkan produktiviti dan bersedia mengikuti arus pertumbuhan dalam ekonomi digital. 

 

Pakej Go Digital merangkumi solusi serba lengkap yang asas bagi pendigitalisasian, termasuk pemasaran digital, solusi keterhubungan dan alatan produktiviti. 

 

Digi Business juga akan membantu pemilik perniagaan yang berkelayakan untuk mendapatkan tuntutan setinggi RM5,000 daripada geran Digitalisasi PKS Penjana untuk penjimatan tambahan. - DagangNews.com