WGSN ramal pengguna di Asia Tenggara ambil langkah berjimat cermat disebabkan cabaran ekonomi | DagangNews Skip to main content

WGSN ramal pengguna di Asia Tenggara ambil langkah berjimat cermat disebabkan cabaran ekonomi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pihak berkuasa global mengenai ramalan aliran, WGSN meramalkan pengguna di Asia akan berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat kerana tidak dapat menjangkakan tentang masa hadapan serta ekonomi mereka.

 

Menurut laporan tahunan 'Asia Shopper Forecast 2023' WGSN, pengguna juga akan berjimat cermat kerana banyak perbelanjaan lain perlu dipertimbangkan ketika ini.

 

Laporan itu juga menyebut, peniaga beralih ke dalam talian untuk berhubung dengan ramai pembeli digital buat kali pertama ketika pandemik, yang mana pembeli mahukan yang terbaik untuk membeli-belah dalam talian dan luar talian.

 

Selain itu, ramalan tahunan itu membantu jenama, perniagaan dan pemasaran menyusun strategi dan mencipta pengalaman bermakna untuk pengguna masa depan.

 

Perunding Kanan APAC WGSN, Jess Tang berkata, menjelang 2023, kesan krisis ekonomi global akan nyata dan jangkaan pengguna yang sentiasa meningkat akan memaksa perniagaan di rantau ini mencari pemacu pertumbuhan baharu. 

 

"Pada masa sama, penggunaan teknologi digital yang bermula semasa wabak COVID-19, akan terus membolehkan pengguna bergerak dengan lancar antara saluran dalam talian dan luar talian. 

 

"Kami juga akan mula melihat keinginan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna Asia untuk memanfaatkan masa kini sepenuhnya dengan mencari rehat dalam pelbagai pengalaman walaupun berlaku kelembapan ekonomi global," katanya dalam kenyataan.

 

Dengan sempadan merentas pasaran Asia dibuka secara beransur-ansur dan langkah kuarantin yang ditarik balik, rantau ini mengalu-alukan kemasukan pelancong antarabangsa. - DagangNews.com