Wanita Malaysia jana lebih RM176 juta sebagai hos penginapan Airbnb pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Wanita Malaysia jana lebih RM176 juta sebagai hos penginapan Airbnb pada 2022

Jian Lin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Wanita di Malaysia secara kolektif memperoleh lebih RM176 juta pada 2022 dengan membenarkan hartanah mereka dibuka kepada tetamu sebagai rumah inap dan merasai pengalaman jangka pendek, menurut Airbnb.

 

Selain itu, wanita adalah tulang belakang dalam komuniti hos Airbnb, dan mereka merangkumi 55% daripada semua hos di seluruh dunia.

 

Mereka memperoleh lebih daripada AS$16 bilion menerusi platform itu pada 2022 di seluruh dunia, dan hampir 10% lebih tinggi berbanding hos lelaki.

 

Ketua Dasar Awamnya untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, hos wanita memainkan peranan yang semakin penting dalam sektor pelancongan terutamanya di Malaysia. 

 

Katanya, menjadi hos kepada rumah inap telah memberikan wanita Malaysia peluang kewangan yang besar di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.

 

"Memandangkan kos sara hidup terus meningkat, wanita beralih menjadi  penyambut kedatangan  pengembara ke  rumah mereka bagi  memperoleh pendapatan tambahan dan berkongsi layanan serta budaya mereka dengan orang lain.

 

“Pada Bulan Wanita Antarabangsa ini, kami meraikan wanita yang luar biasa ini di platform kami, dan semangat keusahawanan serta semangat sepanjang hayat mereka.

 

 

airbnb
Hillside Batu Retreat di Kuala Kubu Bharu, Selangor

 

 

"Kami komited untuk memastikan setiap wanita diiktiraf, dan menyediakan peluang kepada lebih ramai lagi untuk berkongsi manfaat pelancongan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, seorang hos wanita Hillside Batu Retreat, Jian Lin berkata, dia menemui Airbnb semasa perjalanannya ke luar negara dan kagum dengan cara perjalanan yang dihoskan mencipta pengalaman benar-benar unik untuk tetamu.

 

“Keluarga saya menyukai pengalaman kami dengan Airbnb di Jepun, dan saya merasakan idea yang bagus untuk membawa konsep perjalanan yang dihoskan kembali ke tanah air saya, Malaysia. 

 

"Saya telah diilhamkan seni bina yang menarik dan reka bentuk dalaman penginapan di seluruh dunia untuk mereka bentuk semula rumah keluarga saya menjadi tempat percutian Airbnb dengan konsep ruang terbuka," katanya. - DagangNews.com