Wahai isteri, redhakan sahaja jika suami mu mahu berpoligami | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 15 February 2023
WasiyyahShoppe

Wahai isteri, redhakan sahaja jika suami mu mahu berpoligami

 

 

 

SAYA tahu bila saya tulis artikel ini saya akan dihentam dengan teruk oleh para isteri.

 

Mana boleh isteri meredhakan diri mereka dimadu. Takkanlah kita sebagai isteri ini dengan mudah nak merelakan hak kita dikongsikan dengan wanita lain. Ini tidak adil!

 

Tenang ya puan-puan, baca artikel saya ini sampai habis.

 

Ini sebenarnya  nasihat yang saya biasa berikan kepada para isteri yang datang kepada saya meminta pandangan.

 

Saya dengarkan sahaja mereka meluahkan segala perasaan yang terbuku.

 

Apabila saya meminta mereka redhakan sahaja, ulasan yang biasa diberikan ialah, “Orang lelaki semua sama, mestilah dia sokong lelaki berpoligami!.” Penuh emosi dan bersemangat mereka.

 

Tadi katanya inginkan pandangan saya. Bila saya berikan pandangan emosi pula.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Dalam artikel ini saya nak kongsikan pengalaman 25 tahun saya berdepan dengan situasi ini. Saya harap para isteri membaca artikel saya ini dengan tenang dan rasional.

 

Semakin hari kes poligami ini semakin banyak terutamanya yang bernikah di sempadan.

 

Walaupun dikatakan keadaan ekonomi semakin mencabar dan pendapatan para suami mungkin atau telah pun terjejas, tiada tanda-tanda para suami akan melupakan hasrat untuk berpoligami. Cita-cita itu sentiasa ada cuma peluang sahaja yang mungkin agak terhad.

 

Apabila si suami mempunyai ‘skandal’ atau cinta hati yang baru, saya pasti para isteri akan dapat mengesannya. Yalah, selama belasan atau puluhan tahun hidup bersama, pastinya jika tindak-tanduk si suami nampak pelik, isteri akan dapat mengesannya.

 

Bila suami yang biasanya menghabiskan banyak masa di rumah tiba-tiba sibuk ‘meeting’ di luar seolah-olah macam ada banyak betul kerjanya dan keluar pula siap memakai minyak wangi sambil berpakaian kemas, isteri akan terdetik di hatinya yang suami ini ada perempuan lain.

 

Bila si suami yang biasanya membiarkan telefon bimbitnya bersepah di seluruh rumah dan boleh diakses oleh isteri dan anak-anak, tiba-tiba sentiasa membawa telefon bimbitnya ke mana sahaja malah menukar nombor password, isteri akan syak. Apabila si suami tersenyum sambil membalas wasap di telefon bimbitnya, isteri akan curiga.

 

Sekiranya anda sebagai isteri sudah mula rasa curiga, janganlah diskodeng suaminya. Janganlah pula mencari lokasinya melalui telefon bimbitnya. Jangan juga berteka-teki dalam kesamaran.

 

Terus sahaja bertanya dengan suami sama ada dia sudah menemui cinta baru di hatinya. Tanyalah dengan tenang dan tidak beremosi walaupun gelora di hati Tuhan sahaja yang tahu.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Jawapan suami anda mungkin dalam dua bentuk, “Ya, saya ada berkenalan dengan seorang perempuan ini dan saya rasa saya ingin menikah dengannya.”

 

Ataupun dia akan cuba menafikan, “Mana ada. Awak sahajalah wanita dalam hati saya. Sekarang saya sibuklah.”

 

Saya percaya naluri seorang isteri terhadap suaminya cukup kuat. Jika anda yakin suami anda memang telah menemui cinta hati yang baru, mintalah dia berterus-terang. Yakinkan kepadanya bahawa anda tidak akan marah kepadanya.

 

Jika anda nak sekat atau nak halang hasratnya, percayalah bahawa anda pasti gagal.

 

Lelaki terutamanya yang merasakan dirinya berkemampuan baik dari segi ekonomi ataupun tenaga (biasanya lelaki yang ingin berpoligami hanya akan menilai kemampuan dari dua sudut ini sahaja), jika dia sudah pun menemui calon cinta hati yang dihajatinya, dia tetap akan menikah dengan perempuan itu walaupun cuba dihalang oleh isteri pertama.

 

Anda menangis air mata darah sekalipun atau menarik rambut sendiri dan menghempaskan kepala ke dinding, kalau suami anda telah membulatkan tekad untuk menikah, dia akan tetap menikah walaupun apa halangan yang melintang di depannya.

 

Tambah pula jika ada kawan-kawannya yang mengapi-apikan lagi semangat dan memberi galakan kepadanya, “Kau berkemampuan takkan takut bini kot?”

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Maka dengan gembira dan yakinnya si suami pun bermusafirlah ke negara bersempadan untuk melaksanakan pernikahan keduanya dengan si cinta hati baru.

 

Si isteri pertama pula berendamlah air mata beremuk redam emosinya di rumah mengeluh nasib diri dimadukan tanpa rela.

 

Saya nak ulang semula gesaan saya seperti tajuk artikel ini. Jika suami anda mahu berpoligami redhakan sahaja. Jangan dilawan niatnya. Jika dilawan dia akan lebih bersemangat lagi ingin bertindak.

 

Tetapi ada sesuatu yang mesti dilakukan oleh isteri pertama sebelum dia meredhakan pernikahan suaminya.

 

Yang pertama, mintalah dengan baik dan lemah-lembut untuk si suami menyelesaikan isu harta sepencarian dahulu. Jika suami ingin berpoligami dia perlu untuk melindungi hak isteri pertama dengan memberikannya harta sepencarian terlebih dahulu. Ini peruntukan undang-undang di setiap negeri.

 

Harta sepencarian ini boleh meliputi harta tak alih seperti hartanah dan boleh juga meliputi harta alih seperti wang tunai, saham syarikat, saham koperasi dan sebagainya. Proses ini boleh dilaksanakan di Mahkamah Syariah Malaysia.

 

Terangkan kepadanya (dengan lemah lembut) , penting untuk dia melakukan proses ini di Mahkamah Syariah bagi melindungi nasib dan kebajikan anda sebagai isteri pertama serta anak-anak anda dan juga bakal isteri kedua dan anak-anaknya nanti.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Yang kedua, cakaplah dengan baik-baik juga kepada suami supaya suami menghibahkan rumah kediaman  yang di atas nama suami itu kepada anda.

 

Ini untuk memastikan anda telah pun mendapat hak ke atas rumah tersebut dan jika apa-apa berlaku kepada suami, rumah itu sudah pun menjadi milik anda.

 

Untuk lebih yakin, selepas dia menghibahkan rumah itu kepada anda (urusan hibah ini boleh juga dilaksanakan di Wasiyyah Shoppe Berhad), masukkan kaveat ke atas rumah itu di pejabat tanah bagi memastikan rumah itu  tidak boleh dijual tanpa pengetahuan anda.

 

Selesai dua urusan ini, maka sokonglah hasratnya untuk berpoligami dan melalui proses perundangan yang berkenaan di Mahkamah Syariah.

 

Memang anda akan merasa kecewa dan sedih tetapi nasib dan kebajikan anda akan terbela.

 

Anda buatlah pilihan yang bijak. Redhakan sahaja.

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd.

        

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags