Wahai isteri, peganglah Buku Merah suami mu! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 22 February 2023
WasiyyahShoppe

WAHAI ISTERI, PEGANGLAH BUKU MERAH SUAMI MU!

 

 

 

KENAPA lelaki ke negara sempadan untuk nikah lagi? Ini pun soalan yang selalu ditanya kepada saya oleh para isteri.

 

Adakah berpoligami di Malaysia ini sangat sukar prosedurnya sehingga lelaki yang berhajat untuk nikah perlu bersusah-payah (sebenarnya tak susah pun, seberang sungai je!) menyeberangi sempadan bersama cinta hati barunya.

 

Artikel saya minggu ini masih bercerita tentang isu poligami. Kenapa ? Kerana isu ini sangat terkait dengan isu harta pusaka terutamanya apabila ada pihak-pihak terbabit meninggal dunia.

 

Isu ini juga paling hangat dibincangkan panjang lebar oleh banyak pihak kerana banyak pihak yang terkesan dengan isu ini.

 

Saya seorang lelaki tetapi saya sedih bila melihat para suami berbual isu nikah sempadan seolah-olah ia satu bahan gurauan dan sebagai lambang ‘keberanian’ si suami, sedangkan di belakang kejadian itu ada banyak hati yang musnah dan remuk-redam.

 

Selama 25 tahun saya menghadap cerita-cerita orang berpoligami ini. Insya-Allah saya akan cuba berkongsi pengalaman dan pengetahuan setakat kefahaman saya mengenai hal ini untuk manfaat kedua-dua pihak suami dan isteri.

 

 

nikah

 

 

Balik semula kepada persoalan di atas. Kenapa lelaki Malaysia suka mengambil jalan pintas untuk bernikah sahaja di negara sempadan bila nak berpoligami?

 

Setakat perbincangan saya dengan pihak berkuasa di Malaysia, ada banyak faktor sebenarnya yang menggalakkan (push factor) untuk mereka bertindak begini.

 

Faktor pertama dan paling penting kenapa si suami lebih rela bernikah di sempadan ialah kerana dia tidak mahu melalui proses di mahkamah untuk permohonan kebenaran berpoligami.

 

Isu ini sebenarnya lebih terkait dengan EGO suami berbanding dengan prosedur undang-undang. Mari saya jelaskan.

 

Jika suami ingin berpoligami di dalam Malaysia, dia perlu melalui proses permohonan kebenaran berpoligami dari mahkamah syariah negeri berkenaan.

 

Di dalam proses perbicaraan  antara yang akan dipanggil oleh mahkamah (tertakluk kepada peruntukan undang-undang negeri berkenaan) ialah isteri pertama.

 

 

syariah

 

 

Kebenaran dari isteri pertama sebenarnya bukanlah keperluan dalam mahkamah memutuskan untuk membenarkan suami berpoligami.

 

Hal ini ramai suami salah anggap. Mereka merasakan jika isteri pertama dipanggil oleh mahkamah tentulah dia tidak memberi keizinan suaminya bernikah lagi.

 

Mahkamah tidak pernah menjadikan keizinan isteri sebagai faktor penentu dalam meluluskan permohonan poligami.

 

Mahkamah sebenarnya hanya ingin mengetahui dari isteri pertama adakah si suami ini selama perkahwinan pertama itu telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

 

Antara yang biasa ditanya ialah:

  • Adakah tanggungjawab zahir kepada keluarganya diberikan dengan mencukupi?
  • Ada atau tidak disediakan tempat tinggal yang selesa dan selamat untuk keluarganya?
  • Makan pakai keluarganya adakah mencukupi mengikut keperluan?
  • Bagaimana pula dengan belanja pendidikan anak-anak, adakah ia mencukupi?
  • Adakah suami secara konsisten memberi wang  nafkah mingguan atau bulanan kepada isteri walaupun isteri bekerja dan berpendapatan sendiri?  

 

Jika nafkah zahir yang asas ini pun gagal disempurnakan walaupun si suami berjaya menunjukkan penyata bank yang cantik dengan pendapatan menakjubkan, maka susahlah nak dapat kebenaran Mahkamah.   

 

Persoalan lain pula ialah adakah nafkah batin juga diberikan dengan mencukupi?

 

Ramai suami salah anggap bila dia merasakan nafkah batin itu hanyalah hubungan seksual semata-mata.

 

Kalau benar nafkah batin hanya mencukupi hal seksual, memanglah kebanyakan suami mampu berikan malah dalam keadaan tertentu berlebih-lebih lagi sampai tidak tertanggung oleh isteri.

 

Nafkah batin sebenarnya juga meliputi kepimpinan si suami di dalam keluarga.

  • Adakah dia pernah mengimamkan solat berjemaah di rumah?
  • Adakah dia mampu memberi nasihat, membimbing dan memberi didikan agama kepada keluarganya?
  • Adakah dia selalu menggembirakan keluarganya dengan membawa mereka bercuti atau makan-makan di luar?
  • Adakah dia selalu bertutur dengan lemah-lembut dalam perhubungan dengan keluarganya?
  • Adakah dalam apa keadaan suami selalu meletakkan kepentingan keluarga mengatasi kepentingan dirinya sendiri?

 

Kalau mahkamah berpuas hati dengan keterangan dari isteri pertama bahawa si suami ini memang lulus semua persoalan di atas di samping nafkah batin seksual, tentu tiada masalah untuk mahkamah luluskan permohonan si suami untuk berpoligami.

 

Tetapi jika isteri pertama memberi keterangan si suami selalu tertinggal solat subuh, solat berjemaah tak pernah diimamkan langsung  di rumah, anak-anak dibiarkan membesar sendiri tanpa bimbingan agama dan nasihat, keluarga selalu ditinggalkan apabila dia keluar berseronok dengan kawan-kawan,  walaupun tenaga seksualnya sekuat kuda jantan, pasti mahkamah tidak akan memberi keizinan.

 

Inilah sebenarnya yang paling ditakuti oleh si suami. Dia sebenarnya bukan takut mahkamah tidak memberi kebenaran tetapi bimbang tembelang kegagalannya bertanggungjawab sebagai suami dan ayah akan diketahui umum dan memalukan dirinya.

 

Sebab itu saya katakan bahawa faktor utama kenapa si suami tak mahu melalui proses ini ialah EGO.

 

 

madu 3

 

 

Jika si suami itu memenuhi semua syarat di atas, dia pastinya memang layak untuk berpoligami dan pastinya mahkamah akan memberi kebenaran.

 

Ada kes yang saya temui, si isteri dengan rela hati dan tenang memberitahu mahkamah bahawa suaminya memang seorang yang sangat baik, adil dan layak berpoligami!

 

Jika suami itu memang selayaknya berpoligami, niatnya baik dan tiada apa yang nak disorokkan maka laluilah proses perundangan di Mahkamah Syariah Malaysia yang sewajarnya.

 

Selepas mendapat kebenaran Mahkamah maka bolehlah berpoligami. Insya-Allah kepentingan semua pihak, isteri pertama, anak-anak dari isteri pertama, isteri kedua dan bakal anak-anak dari isteri kedua, semuanya akan terbela dan terjaga.

 

Kita sebagai suami pun boleh menerajui bahtera poligami ini dengan tenang dan yakin.

 

Walaupun nikah di sempadan ini dari segi hukum syaraknya sah namun ia banyak implikasi undang-undang dan psiko sosial.

 

Kalau anda sorok-sorok bernikah di sempadan, maknanya anda belum layak untuk berpoligami kerana anda sendiri tidak yakin untuk membuktikan kelayakan anda di Mahkamah Syariah Malaysia!

 

Tepuk dada tanya iman jangan tanya selera kerana selera itu paksinya nafsu. – DagangNews.com

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags