Village Grocer buka cawangan ke-25 di Gamuda Walk Kota Kemuning | DagangNews Skip to main content

Village Grocer buka cawangan ke-25 di Gamuda Walk Kota Kemuning

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - Cawangan ke-25 pasar raya premium Village Grocer kini dibuka di pusat beli-belah Gamuda Walk di Kota Kemuning, Selangor.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan TFP Retail, Ivan Tan berkata, Village Grocer berhasrat untuk terus mengembangkan jejaknya di Lembah Klang dan komited untuk menyediakan pelbagai jenis barangan runcit berkualiti tinggi dan perkhidmatan pelanggan terbaik.

 

Katanya, sejak penubuhan kumpulan runcit mereka lebih 26 tahun lalu, terdapat beberapa aspek penting perniagaan yang tidak pernah berubah sama sekali. 

 

"Ia adalah produk berkualiti tinggi, kesegarannya dan pelbagai jenis. Ini sentiasa menjadi ciri utama konsep dan kekuatan barangan runcit kami yang menyumbang kepada kejayaan jenama Village Grocer," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kedai seluas melebihi 17,000 kaki persegi itu juga menawarkan pelbagai pilihan sayur-sayuran organik dan tempatan yang tiba setiap hari dari Cameron Highlands, menjadikan pemilihan barangan segar harian menjadi mudah untuk pelanggannya.

 

Village Grocer juga terkenal dengan membawa masuk buah-buahan dan sayur-sayuran segar, terutamanya dari Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Korea, dan New Zealand untuk memastikan kesegarannya terpelihara dengan baik.

 

Bahagian protein menawarkan pelbagai jenis daging lembu Australia berkualiti premium dan potongan kambing New Zealand, termasuk kepingan daging burger wagyu serta daging perapan sedia untuk dimasak. 

 

 

village

 

 

Bahagian makanan laut pula menawarkan pelbagai jenis ikan tempatan yang segar dan salmon yang diterbangkan dari Norway.

 

Selain itu, Village Grocer menawarkan lebih 2,400 produk untuk kategori keperluan pemakanan kesihatan yang terdiri daripada produk organik, makanan super, bebas gluten, bebas gula, bebas tenusu dan vegetarian termasuk produk vegan dan vegetarian sejuk beku.

 

 

village

 

 

Terdapat juga pelbagai makanan ringan dan kuih-muih yang diimport dari New Zealand, Australia, United Kingdom, Belgium, Jepun dan Korea.

 

Untuk meraikan pembukaan rasminya, Village Grocer Gamuda Walk menawarkan banyak ganjaran, tawaran dan promosi menarik dari 21 Mac hingga 16 April 2023. 

 

Semua pelanggan yang membeli, tidak kira jumlah pembelian juga akan menerima baucar percuma RM15 untuk digunakan dalam pembelian seterusnya dengan perbelanjaan minimum RM200 sepanjang promosi Hari Raya Aidilfitri. - DagangNews.com