Untung sebelum cukai Kerjaya Prospek melonjak 23.3% kepada RM37.7 juta bagi 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

Untung sebelum cukai Kerjaya Prospek melonjak 23.3% kepada RM37.7 juta bagi 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Keuntungan sebelum cukai (PBT) Kerjaya Prospek Group Berhad melonjak 23.3% kepada RM37.7 juta bagi 3QFY22 berbanding RM30.6 juta bagi suku sama pada tahun lalu.

 

Keuntungan yang tinggi itu disokong oleh peningkatan hasil sebanyak 16.5% kepada RM259.4 juta daripada RM222.6 juta yag direkodkan tahun lalu.

 

Perkembangan itu didorong oleh kemajuan kerja dan peningkatan aktiviti di tapak pembinaan meningkatkan margin keuntungan kumpulan menerusi operasi yang cekap.

 

Pendapatan 3QFYE22 yang membanggakan menyebabkan PBT bertambah baik sebanyak 27.0%, tahun ke tahun, kepada RM114.4 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 disokong pertumbuhan hasil sebanyak 22.9% kepada RM836.9 juta.

 

Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2022(9MFYE22), kumpulan mencapai hasil sebanyak RM836.9 juta mewakili peningkatan 22.9% berbanding RM681.2 juta pada 9MFYE21 manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) 9MFYE22 meningkat 29.5% kepada RM86.2 juta daripada RM66.6 juta.

 

Dengan peningkatan dalam hasil dan PATAMI, margin keuntungan bersih 9MFY22 pulih semula kepada dua digit pada 10.3%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif kumpulan, Tee Eng Tiong berkata, keseluruhan pasaran pembinaan dan hartanah kekal lemah berikutan ringgit yang lemah, peningkatan kos bahan mentah dan ketidaktentuan geopolitik.

 

Katanya, dengan memanfaatkan kecekapan dan kepakaran teras, kumpulan itu berjaya memperoleh pelbagai projek berskala besar termasuk kontrak RM1.5 bilion daripada Texas Instruments Electronics Malaysia yang telah dianugerahkan kepada usaha sama kami dengan Samsung.

 

Ia juga meningkatkan kemenangan kontrak tahun sehingga kini kami kepada RM1.8 bilion (setakat 30 September 2022).

 

"Kami kekal berhati-hati dengan prospek perniagaan untuk 2023 dengan risiko kemelesetan terus membayangi ekonomi global.

 

"Kami akan memanfaatkan kepakaran kami untuk mendapatkan lebih banyak projek dan terus meningkatkan kecekapan operasi untuk meningkatkan margin keuntungan dan memastikan kemampanan perniagaan jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com