Untung bersih Kronologi Asia melonjak 92% kepada RM12.4 juta pada 4QFY23 didorong hasil lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kronologi Asia melonjak 92% kepada RM12.4 juta pada 4QFY23 didorong hasil lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Untung bersih Kronologi Asia Berhad melonjak 92% kepada RM12.4 juta pada suku keempat berakhir 31 Januari 2023 (4QFY23) berbanding RM6.5 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan meningkat kepada RM106.1 juta iaitu 21.1% atau RM18.4 juta lebih tinggi berbanding hasil bagi suku sama pada tahun lalu.

 

"Kumpulan itu mencatatkan untung bersih lebih tinggi sebanyak RM12.4 juta atau peningkatan 71.4% daripada sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada Singapura dan Filipina serta keuntungan pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasikan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23), kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM25 juta berbanding RM23.7 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berjaya merekodkan hasil sebanyak RM314.2 juta bagi FY23 berbanding RM308 juta pada FY22.

 

"Sebahagian besar hasil kumpulan diiktiraf dari Singapura, berjumlah RM107 juta (34% daripada jumlah hasil), diikuti oleh China dan Filipina yang masing-masing menyumbang 27.7% dan 24.2% daripada jumlah hasil.

 

"Mengikut kategori produk, segmen Teknologi Infrastruktur Pengurusan Data Perusahaan (EDM) terus mendominasi hasil kumpulan, berjumlah RM248.4 juta atau 79.1% daripada jumlah keseluruhan, dengan EDM As-AService membentuk bakinya," katanya.

 

Kumpulan itu akan terus membuat kemajuan dalam transformasi perniagaan jangka panjang dengan pelaksanaan disiplin inisiatif bagi memacu pertumbuhan serta meningkatkan nilai pemegang saham.

 

Pada masa sama, mereka akan meningkatkan prestasi kewangan kumpulan bagi memberi pulangan lebih baik kepada pemegang saham. - DagangNews.com