Untung bersih DNeX bagi Q1FY23 susut kepada RM41.72 juta tanpa impak pengambilalihan SilTerra | DagangNews Skip to main content

Untung bersih DNeX bagi Q1FY23 susut kepada RM41.72 juta tanpa impak pengambilalihan SilTerra

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Nov - Untung bersih Dagang NeXchange Bhd. susut mendadak kepada RM41.72 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2022 daripada RM293.56 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu disebabkan muhibah negatif sekali sahaja yang dimasukkan pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) sebanyak RM264.5 juta berikutan pengambilalihan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd., menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Tanpa angka ini, keuntungan selepas cukai pada suku pertama meningkat 85%, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan meningkat 44% tahun ke tahun.

 

Pada suku berkenaan, pendapatan kumpulan bagaimanapun meningkat 55% kepada RM419.6 juta daripada RM270.9 juta dipacu hasil yang lebih tinggi menerusi segmen perniagaan teknologi dan tenaga.

 

Hasil daripada segmen teknologi meningkat 85% kepada RM274.7 juta, menjadikannya penyumbang utama kepada kumpulan sebanyak 65% daripada jumlah hasil.

 

Prestasi yang lebih baik itu adalah hasil daripada penyatuan keputusan kewangan tiga bulan SilTerra pada suku tersebut, berbanding dua bulan pada suku pertama FY22.

 

Sementara itu, segmen tenaga merangkumi 24% daripaa jumlah hasil sebanyak RM101.6 juta, diikuti segmen teknologi maklumat (IT) menyumbang sebanyak RM43.3 juta atau 10% daripda jumlah pendapatan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kumpulan merekodkan prestasi yang kukuh di sebalik persekitaran mencabar, mencerminkan kedudukan kumpulan berdaya tahan. 

 

Katanya, kumpulan akan menumpukan kepada pengoptimuman kos dan memaksimumkan nilai perniagaan untuk memastikan kemampanan jangka panjang memandangkan ketidaktentuan ekonomi global akan datang.

 

"Selain itu, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) juga menguntungkan kumpulan dengan lebih 80% daripada hasil adalah dalam mata wang ini.

 

"Khususnya di SilTerra, kami akan terus menumpukan pada pelaburan dalam teknologi baharu muncul yang menguasai harga jualan purata yang lebih tinggi untuk kemampanan jangka panjang,” katanya.

 

Setakat 30 September 2022, kedudukan kunci kira-kira DNeX juga kukuh dan berada dalam kedudukan tunai bersih dengan jumlah tunai RM1.05 bilion melebihi jumlah pinjaman RM322.6 juta. - DagangNews.com