Untung bersih Affin Bank melonjak kepada RM872.37 juta bagi 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Affin Bank melonjak kepada RM872.37 juta bagi 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - Untung bersih Affin Bank Berhad melonjak kepada RM872.37 juta bagi 3QFY22 berbanding RM133.20 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Hasil bagi suku dalam tinjauan melonjak kepada RM1.62 bilion berbanding RM552.49 juta setahun sebelumnya.

 

Bagi 9MFY22, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM1.16 bilion daripada RM320.09 juta setahun lalu dan pendapatannya meningkat kepada RM2.73 bilion daripada RM1.67 bilion sebelumnya.

 

Pendapatan faedah bersih bagi 9MFY22 meningkat sebanyak RM101.1 juta atau 15.5% kepada RM755.2 juta berbanding tempoh yang sama sebelumnya sebanyak RM654.1 juta terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman dan pelaburan kewangan pada 2022.

 

"Pendapatan daripada operasi perbankan Islam mencatatkan peningkatan sebanyak RM113.8 juta atau 29.2% kepada RM503.6 juta tahun ke tahun berikutan pertumbuhan kukuh dalam pembiayaan," kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kumpulan itu akan terus menunjukkan peningkatan ketara dalam nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) apabila GIL terus menurun kepada bawah 2% berbanding 3.14% dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 disebabkan usaha pemulihan yang kukuh dan piawaian taja jamin yang lebih ketat.

 

Beliau berkata kumpulan itu akan terus mengukuhkan rizabnya menerusi pelan transformasi kumpulan itu dengan sasaran mencapai pulangan 10% ke atas ekuiti, memacu pertumbuhan hasil dan menggandakan asas pelanggannya kepada 2 juta menjelang 2025 dengan memberi tumpuan kepada perbankan komuniti runcit dan perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

 

Ia juga akan mendorong pelan digitalnya yang akan menyaksikan peningkatan dalam perbelanjaan modal teknologi maklumatnya kepada kira-kira RM330 juta pada 2023 daripada RM316 juta tahun ini. - DagangNews.com