UMW Toyota catat jualan 80,153 unit dalam tempoh 10 bulan | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota catat jualan 80,153 unit dalam tempoh 10 bulan

Toyota Veloz menawarkan model baharu dan tahap keselesaan yang lebih tinggi dengan penampilan yang lebih premium.

KUALA LUMPUR 9 Nov - Toyota terus mendahului jenama bukan nasional di Malaysia, dengan jumlah jualan terkumpul mencecah 79,308 unit bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022.

 

Ini adalah kesinambungan arah aliran meningkat positif yang bermula pada awal tahun dan jenama itu secara konsisten menjadi peneraju pasaran sepanjang tahun, terutama dalam segmen trak pikap.

 

Jumlah jualan kenderaan baharu Oktober 2022 yang dihantar oleh UMW Toyota Motor (UMWT) ialah 9,281 unit (membabitkan 9,175 jenama Toyota dan 106 jenama Lexus).

 

Volum jualan pada Oktober adalah sebanyak 9,281 unit, iaitu 0.5% lebih tinggi berbanding September 2022.

 

Peningkatan itu lebih ketara berbanding volum jualan pada Oktober 2021 apabila 8,500 kenderaan Toyota dan Lexus dijual, menyaksikan perbezaan 9%.

 

Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, jumlah kumulatif bagi Toyota dan Lexus adalah sebanyak 80,153 unit, meningkat lebih 47% berbanding tempoh sama pada tahun lalu apabila 54,618 unit dijual.

 

 

Ravindran. K.
Ravindran. K.

 

 

Presiden UMWT, Ravindran. K. berkata, pasaran kenderaan semakin pulih dengan stabil meskipun persekitaran ekonomi masih kekal mencabar.

 

"Permintaan untuk kenderaan Toyota kekal tinggi dan bagi mereka yang terpaksa menunggu sedikit lebih lama untuk kenderaan baharu, kami sedang berusaha keras untuk memastikan penghantaran kenderaan mereka sepantas mungkin.

 

"Pengeluaran kami masih terjejas sebahagiannya tetapi yakinlah bahawa kami melakukan yang terbaik untuk menghantar kenderaan baharu secepat yang boleh," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada Oktober, UMWT melancarkan Toyota Veloz yang dinanti-nantikan, sebuah Crossover Premium serba baharu yang menjanjikan "Kebahagiaan Di Dalam dan Luar". 

 

Veloz menawarkan model baharu dan tahap keselesaan yang lebih tinggi dengan penampilan yang lebih premium.

 

Pelancaraan kenderaan ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila menerima lebih 7,000 tempahan sebelum model tersebut dilancarkan.

 

Sempena usim perayaan akhir tahun, UMWT mengadakan promosi hebat dengan ansuran bulanan yang rendah bermula daripada RM498 untuk Toyota Yaris dan RM598 untuk Toyota Vios.

 

Bagi varian terpilih kedua-dua model, terdapat juga tawaran promosi tambahan sebanyak RM4,000. - DagangNews.com