UEM Edgenta jalinkan tiga kerjasama kukuh kedudukan dalam perniagaan penjagaan kesihatan antarabangsa | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta jalinkan tiga kerjasama kukuh kedudukan dalam perniagaan penjagaan kesihatan antarabangsa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - UEM Edgenta Berhad menerusi Edgenta Healthcare Support memeterai memorandum perkongsian penerokaan perniagaan (MOBE) bersama WAS, First Ambulance Services dan Optima Electro Hydraulic Ltd Co bagi mengukuhkan kedudukannya dalam perniagaan penjagaan kesihatan antarabangsa.

 

WAS merupakan syarikat yang berpangkalan di Jerman dan adalah pengeluar kenderaan khas dan ambulans terkemuka dunia dengan pengalaman lebih 20 tahun.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat itu dalam potensi penerokaan dengan WAS dan First Ambulance, akan menyediakan penyelesaian untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini dan wilayah lain secara serentak.

 

Beliau berkata, gabungan kepakaran UEM Edgenta dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan, penjagaan kesihatan digital dan teknologi pengurusan aset membolehkan syarikat itu meningkatkan sistem penjagaan kesihatannya dan menambah baik pengalaman pesakit.

 

"Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk menyampaikan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kami juga meneroka ambulans kenderaan elektrik (EV), selaras dengan pelancaran Wawasan 2030 oleh Putera Mohammed Salman, Putera Mahkota Arab Saudi ke arah mengurangkan pelepasan karbon.

 

"Ini adalah satu langkah ke hadapan dalam aspirasi berterusan UEM Edgenta dalam menyediakan perkhidmatan perubatan kecemasan bersepadu dan berkualiti tinggi ke arah ekosistem penjagaan pesakit berpusat yang lebih baik," katanya.

 

Perjanjian perkongsian MOBE telah dimeterai semasa pameran Kesihatan Arab 2023 di Pusat Dagangan Dunia Dubai.

 

Optima Technic merupakan syarikat berpangkalan di Turkiye yang menyediakan pelbagai penyelesaian mudah alih yang menjimatkan melalui perkhidmatannya dalam menyediakan penyelesaian hospital mudah alih, penyelesaian tentera mudah alih, mereka bentuk dan mengeluarkan penyelesaian kejuruteraan mudah alih dan penyelesaian komersial mudah alih yang disesuaikan dengan keperluan setiap pelanggan.

 

“Melalui perkongsian dengan Optima Technic, UEM Edgenta akan dapat menyediakan akses yang lebih baik kepada kemudahan yang lebih selamat dan pembinaan lebih pantas.

 

"Ini selaras dengan keupayaan kami dalam menaik taraf infrastruktur penjagaan kesihatan, terutamanya di kawasan luar bandar dan terpencil di mana masyarakat tidak mempunyai akses kepada asas kesihatan," katanya. - DagangNews.com