TUDM, Indian Air Force fokus program kerjasama pertahanan dua angkatan udara  | DagangNews Skip to main content

TUDM, Indian Air Force fokus program kerjasama pertahanan dua angkatan udara 

Eksesais Udarashakti antara TUDM-IAF tahun lalu melibatkan pesawat Sukhoi SU-30 kedua-dua pihak.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 22 Mac - Walaupun usaha industri pertahanan India untuk melihat pesawat Tejas menjadi pilihan Malaysia tidak berhasil, namun ini bukan cerminan pada hubungan ketenteraan dua negara tersebut.

 

Hubungan akrab Malaysia-India dalam kerjasama pertahanan terus subur apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Indian Air Force (IAF) mengadakan mesyuarat bersama.

 

Bertempat di Wisma Transit di sini, Mesyuarat Bilateral 10th RMAF–IAF Air Staff Talks itu dipengerusikan dua pegawai tertinggi daripada kedua-dua angkatan.

 

Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer Amin duduk semeja dengan wakil IAF iaitu Air Vice Marshal Rajiv Kumar Obheroi AVSM, Assistant Chief of The Air Staff (Intelligence).

 

Markas Tentera Udara-Bahagian Operasi dan Strategi (MTU-BOS) telah bertindak selaku sekretariat mesyuarat ke-10 kali ini yang diadakan secara penggiliran. 

 

 

tudm
Hubungan akrab TUDM dan IAF terus subur apabila kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat bersama.

 


Delegasi IAF yang hadir terdiri daripada Penasihat Pertahanan Negara India dan wakil IAF.

 

Objektif mesyuarat kali ini adalah untuk merancang dan mengkoordinasikan inisiatif masa hadapan bagi memastikan program kerjasama pertahanan antara TUDM dan IAF berjalan lancar.

 

Ia juga merupakan platform bagi membentuk jalinan kerjasama dan hubungan yang erat serta profesional di antara TUDM dan IAF.  

 

Mesyuarat ini merupakan medium untuk pertukaran maklumat dan pandangan berkaitan pelan pembangunan keupayaan angkatan udara.

 

 

tudm
Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer Amin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Air Vice Marshal Rajiv Kumar Obheroi.

 

 

Selain itu, ia juga bagi merencana pembangunan masa hadapan untuk kedua-dua angkatan udara. 

 

Delegasi TUDM dan IAF telah berjaya merencanakan program 'Security Confidence Building Measure' meliputi perancangan operasi dan eksesais serta latihan.

 

Kerjasama lain bagi pertukaran sumber manusia  serta program lawatan oleh pucuk pimpinan kedua-dua pihak.

 

Mesyuarat peringkat pegawai kanan ini juga dilihat relevan pada kedua-dua tentera udara khususnya dalam peranan kedua-duanya saling membantu daam memperkukuh keamanan serantau.

 

TUDM dan IAF sememangnya mempunyai hubungan kerjasama yang erat terutamanya sejak era pengoperasian pesawat tempur MiG29N pada pertengahan tahun 90an.

 

 

tudm
Formasi tujuh buah pesawat Sukhoi SU-30MKM dan SU-30MKI semasa Eksesais Udarashakti.

 

 

Ini kerana IAF merupakan negara di luar Rusia yang paling banyak mengoperasikan pesawat tersebut, malah membina beberapa komponen pesawat secara kebenaran berlesen.

 

Hubungan dan kerjasama ini berterusan apabila TUDM memiliki pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM manakala IAF memilih SU-30MKI.

 

Penglibatan dalam eksesais udara juga kerap dilakukan TUDM-IAF sekali gus meletakkan hubungan dua hala tersebut pada peringkat tinggi.

 

Sebagai negara industri pertahanan, India seperti yang lain berusaha untuk menonjolkan produk yang mempunyai potensi meneroka pasaran luar.

 

Justeru, peluang untuk India meneroka sebarang bentuk kerjasama industri pertahanan di sini sebenarnya masih terbuka luas dan bukan hanya pada satu produk khusus sahaja.

 

Ini termasuklah dalam bidang selenggaraan dan teknikal yang mana kemahiran dimiliki India boleh dimanfaatkan menerusi aspek guna sama. - DagangNews.com