Tourplus, MDEC tawar pengiktirafan dan geran kepada operator penginapan melalui program De Rantau | DagangNews Skip to main content

Tourplus, MDEC tawar pengiktirafan dan geran kepada operator penginapan melalui program De Rantau

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Syarikat pemula teknologi pelancongan Malaysia, Tourplus Technology Sdn Bhd (Tourplus) mengumumkan kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk menawarkan status akreditasi kepada syarikat pengendali perkhidmatan penginapan di bawah program De Rantau.

 

Akreditasi itu akan memperakui dan mengiktiraf penginapan mesra pekerja jarak jauh (nomad digital)  dan meningkatkan tahap kesediaan mereka untuk menerima penginap kategori tersebut di Hab De Rantau yang terletak di Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang pada masa akan datang.

 

Program De Rantau yang diperkenalkan Kerajaan Malaysia berharap dapat memanfaatkan pasaran yang menguntungkan tersebut dan dijangka menjana pendapatan RM70 bilion menjelang 2025 serta pertumbuhan dalam ekonomi digital negara.

 

Selain daripada mencari tawaran penginapan yang paling sesuai dengan keperluan nomad digital untuk melakukan kerja mereka dalam suasana percutian, golongan tersebut juga boleh memilih penginapan terbaik melalui platform yang membolehkan mereka menjalin rangkaian dengan individu yang berfikiran sama dan menyelami budaya serta pengalaman baharu.

 

Untuk mendapat akreditasi, pengendali penginapan perlu membuktikan bahawa premis mereka dilengkapi dengan perkhidmatan rangkaian terbaik, kemudahan dan keselesaan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan pekerja jarak jauh dari seluruh dunia. 

 

Pengendali penginapan yang tidak memenuhi kriteria akreditasi boleh memohon geran menaik taraf kemudahan premis mereka sehingga RM10,000 daripada MDEC. 

 

Dana tersebut bertujuan untuk membantu pengendali penginapan menampung perbelanjaan untuk penyesuaian, pembaikan dan pengubahsuaian premis, membolehkan mereka memperoleh akreditasi dan seterusnya memastikan penginapan dilengkapi dengan kemudahan lebih baik untuk memenuhi keperluan nomad digital.

 

 

tourplus
                                               Rickson Goh

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Tourplus, Rickson Goh berkata, mereka teruja untuk bekerjasama dengan MDEC dalam menyokong cita-cita Malaysia untuk menjadi hab nomad digital pilihan di ASEAN. 

 

"Dengan peningkatan pekerja jarak jauh di peringkat global ditambah pula dengan lokasi indah Malaysia, kita mempunyai peluang besar untuk menarik ramai bakat asing ke negara ini. 

 

"Akreditasi dan geran dibuka untuk penyertaan kepada semua penyedia penginapan termasuk hotel dan resort bertaraf 1-5 bintang, rumah inap desa dan rumah Airbnb di sekitar Hab De Rantau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Goh berkata, Tourplus menyedari hakikat bahawa faedah akreditasi bukan sahaja akan memberi manfaat kepada golongan nomad digital tetapi juga kepada industri pelancongan tempatan.

 

"Nomad digital sebaliknya boleh mengenal pasti pilihan penginapan yang sesuai dan kondusif untuk keperluan kerja mereka serta pilihan lain termasuk tempoh penginapan, infrastruktur, kebolehcapaian rangkaian, keselesaan dan keselesaan lokasi seperti tepi pantai atau bandar," katanya. - DagangNews.com