Tiga panduan mudah memilih pemimpin menurut Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 18 November 2022

Tiga Panduan Mudah Memilih Pemimpin Menurut Islam

oleh DR. AZRI BIN BHARI

 

 

 

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 adalah proses yang perlu disertai oleh semua warga negara yang layak mengundi untuk memilih barisan pemimpin yang bakal meneraju masa depan negara.

 

Berdasarkan statistik umur Daftar Pemilih yang dikemas kini sehingga 9 Oktober 2022, seramai 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi kali pertama pada PRU15.

 

Umur lingkungan 21 hingga 29 tahun pula seramai 4,614,429 orang pengundi layak. Manakala bagi usia 30 hingga 59 tahun pula adalah seramai 11,354,094 orang serta pemilih warga emas pula adalah seramai 3,724,652 orang.

 

Peluang dan ruang untuk membuat pilihan pemimpin yang bakal meneraju negara dalam menggerakkan sistem demokrasi tidak boleh disia-siakan dan dibuat sambil lewa.

 

Demokrasi ialah sistem berasaskan kepada pilihan yang dibuat oleh majoriti rakyat yang layak mengundi.

 

 

irsyad

 

 

Menurut Abraham Lincoln mengenai sifat demokrasi ialah ‘demokrasi ialah kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat’. Demokrasi adalah mekanisme kepada penginstitusian atau pengiktirafan kepada hak dan kebebasan.

 

Semakin tinggi jumlah pengundi yang melaksanakan tanggungjawab, semakin jelas sokongan terhadap barisan pemimpin yang dipilih. Sebaliknya, semakin rendah jumlah pengundi melaksanakan tanggungjawab menandakan semakin tidak jelas jumlah majoriti dan sokongan.

 

Pemilihan pemimpin yang bakal dilakukan oleh pengundi di Malaysia perlu berdasarkan kepada panduan dan kriteria yang baik serta jelas seperti yang digariskan oleh Islam dalam memastikan pemimpin yang berwibawa dalam mengurus dan mentadbir negara.

 

1. Mendaulat dan memelihara kesucian agama Islam

Para ulama bersepakat khusus bagi jawatan kepimpinan tertinggi yang bertanggungjawab di dalam menentukan dasar atau disebut sebagai ‘al-wilayah al-‘ammah’ perlu menepati syaral beragama Islam.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang kafir menjadi wali, dengan meninggalkan orang mukmin.” (Surah Ali Imran: 28)

 

Ayat di atas jelas menegaskan bahawa Islam tidak menerima setiap bentuk wilayah atau penguasaan orang bukan Islam ke atas orang Islam.

 

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan ulil amri di antara kamu.” (Surah al-Nisa’: 59)

 

Imam al-Syawkani menyatakan bahawa ‘ulil amri’ ialah para pemimpin, sultan, hakim dan individu yang mendapat mandat kuasa dari syarak. Justeru itu, individu yang memegang amanah kepimpinan mestilah terdiri dari kalangan orang Islam.

 

Sementara, jawatan yang tidak melibatkan perkara dasar sebaliknya hanya pelaksanaan arahan sahaja, maka para ulama berbeza pandangan ada segolongan yang membenarkan seperti Imam al-Mawardi dan ada yang menolak seperti Imam al-Juwayni.

 

Unsur keagamaan akan menjadikan kepimpinan negara bersedia melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh dengan penuh keyakinan tanpa bertangguh dan beralasan.

 

Akidah Islam yang dianuti akan mendorong kepimpinan untuk bertanggungjawab di hadapan Allah dan rakyat, sekaligus kepimpinan Islam tidak menjadi penghalang kepada pelaksanaan syarial Islam.

 

 

irsyad

 

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kalian; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya…” (Riwayat al-Bukhari)

 

2. Mencegah berlaku konflik perkauman atau keagamaan

Keharmonian dalam kemajmukan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Malaysia perlu dipelihara dalam berdepan isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman.

 

Perbezaan dan kepelbagaian ini perlu ditangani dan diuruskan sebaik mungkin untuk mengelakkan tercetusnya perkara yang tidak diingini.

 

Konflik perlu dibendung dari berlaku pertembungan dua pihak yang masing-masing mempunyai kepentingan berbeza dan saling bersaing.

 

Pemimpin perlu optimis membawa agenda keharmonian dan ketenteraman dalam kehidupan bermasyarakat dengan memastikan segelintir golongan yang mencetuskan konflik perkauman atau keagamaan dibanteras dan diambil tindakan tegas.

 

3. Memiliki nilai amanah dan integriti yang tinggi

Bersih dan bebas dari melakukan kesalahan akhlak dan moral seperti rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

 

Pemimpin perlu beriltizam dengan unsur kebaikan mengikut aspek agama dan akhlak.

 

Kebaikan dalam aspek agama ialah menunaikan semua tanggungjawab atau melaksanakan semua yang difardukan serta meninggalkan segala larangan.

 

 

irsyad

 

 

Tidak melakukan dosa-dosa besar di samping tidak berkekalan melakukan dosa-dosa kecil.

 

Manakala kebaikan dalam aspek akhlak pula ialah melakukan sesuatu yang mendatangkan keelokan dan kesempurnaan, mengelakkan diri dari unsur yang tidak baik dan jijik sama ada dalam perbuatan atau perkataan.

 

Demikianlah, antara panduan dan kriteria yang perlu diperhatikan oleh setiap pengundi dalam memilih pemimpin yang bakal meneraju dan mencorak negara ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.  - DagangNews.com

 

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags