Tidak perlu tergesa-gesa bangunkan pelabuhan ketiga di Pulau Carey – pakar | DagangNews Skip to main content

Tidak perlu tergesa-gesa bangunkan pelabuhan ketiga di Pulau Carey – pakar

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 22 Mac – Pembangunan pelabuhan ketiga atau pelabuhan kargo di Pulau Carey, Klang yang dijangka menelan belanja sebanyak RM28 bilion tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa memandangkan operator pelabuhan sedia ada, Westports Holdings Bhd telah ditawarkan kawasan untuk sambungan (port extension).

 

Pengasas dan rakan kongsi urusan Thought Partners Group, Abi Sofian Abdul Hamid berkata usaha membangunkan pelabuhan ketiga perlu dilakukan dengan teliti memandangkan kebenaran sambungan pelabuhan yang diberikan kepada Westports membawa kepada kapasiti yang mencukupi untuk 20 tahun lagi.

 

"Pelabuhan kargo di Pulau Carey dijadualkan siap menjelang 2060 dan pada masa kini, kapasiti Pelabuhan Klang sedia ada yang mencukupi, tetapi ia hanyalah di pelabuhan yang dikendalikan oleh Westports.

 

"Sebaliknya, Northport memerlukan kawasan baharu untuk berkembang," Abi Sofian yang juga bekas pengarah urusan Northport (Malaysia) Bhd memberitahu DagangNews.

 

Abi Sofian turut menjelaskan bahawa setakat ini beberapa kajian telah dilaksanakan untuk pembangunan pelabuhan tersebut, namun beliau mengingatkan bahawa Pulau Carey perlu dibangunkan menjadi sebuah bandar penuh dengan kemudahan bukan sahaja pelabuhan semata-mata.

 

Abi Sofian Abdul Hamid
                                 Abi Sofian Abdul Hamid

 

 

Sebelum ini, ketika pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa beliau menyokong cadangan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey oleh pihak swasta bagi perkembangan perdagangan antarabangsa.

 

Projek tersebut dijangka dapat memperkukuhkan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan hab utama untuk rantau Asia Tenggara.

 

Sementara itu, menteri pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa fasa pertama pelabuhan ketiga tertumpu pada kargo konvensional, termasuk pukal kering serta terminal pukal cecair, dan tidak tertumpu terlalu banyak pada pelabuhan kontena.

 

"Ia tidak bersaing secara langsung dengan pengembangan Westports dan Northport dan dari segi kapasiti, Northport adalah terhad, kerana saiz pelabuhan. Oleh itu, satu-satunya pengembangan yang mungkin boleh dikenal pasti adalah pada Fasa 2 Westports.

 

“Berdasarkan kajian kami, walaupun dengan Westports Fasa 2 beroperasi sepenuhnya dengan 27 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU), kami mungkin akan mencapai kapasiti itu pada akhir 2030-an.

 

"Jadi, apabila pelabuhan Pulau Carey muncul pada tahun 2030-an atau 2040-an, ia bagus dari segi menyediakan lebih banyak kapasiti," beliau dipetik berkata baru-baru ini. – DagangNews.com