Tepatkah langkah LTAT menswastakan Boustead? Ini pandangan pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

Tepatkah langkah LTAT menswastakan Boustead? Ini pandangan pakar ekonomi

oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 3 Mac – Institusi keselamatan sosial dan badan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Tabung Haji serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) seharusnya memainkan peranan sekadar menjadi pelabur ekuiti dalam syarikat tersenarai tanpa pegangan yang dominan, kata pakar ekonomi Dr Nungsari Radhi.

 

“Institusi keselamatan sosial dan badan berkanun tidak sesuai mahupun layak menguruskan operasi syarikat,” kata beliau dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

 

 

Dr Nungsari Radhi
                          Dr Nungsari Radhi

 


Nada serupa disuarakan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Johari Ghani di mana semasa berhujah di Parlimen telah menyarankan kepada kerajaan supaya dana pelaburan berkaitan kerajaan - LTAT, PNB, KWAP, TH & EPF mengehadkan pelaburan mereka di dalam mana-mana syarikat kepada tidak lebih dari 5% - 10% saham dalam sesebuah syarikat.

 

Malaysia kata beliau, harus melihat kaedah pelaburan yang diguna pakai oleh negara-negara maju di dunia yang kebiasaannya hanya melabur sebanyak 5% dalam satu-satu syarikat.

 

“Dan sekiranya syarikat yang dilabur wujud masalah atau pengurusan yang lemah, mereka boleh mudah menjualnya.

 

“Ini bagi membolehkan dana-dana awam yang dilabur dapat diselamatkan dan sekaligus kerajaan tidak perlu diheret dalam langkah 'bailout',” ujar beliau.

 

 

jo ghani
                                 Datuk Seri Johari Ghani

 

 

Mereka mengulas mengenai langkah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menawarkan 40.58 peratus saham pengambilalihan secara sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah Boustead Holdings Bhd (BHB), semalam.

 

Terdahulu, LTAT telah membuat tawaran pengambilalihan sukarela untuk semua saham yang belum dimilikinya dalam BHB pada 85.5 sen sesaham.

 

Tawaran itu adalah susulan kerugian besar suku tahunannya sebanyak RM402 juta, termasuk kemerosotan nilai yang ditanggung oleh Pharmaniaga Bhd sebanyak RM552 juta akibat kegagalan menjual stok vaksin COVID-19.

 

LTAT memberi tawaran untuk membeli 40.58 peratus saham yang tidak dipegang oleh LTAT dan dana pencen angkatan tentera tersebut dijangka mengeluarkan RM703.25 juta untuk perjanjian itu, dan menurut pemfailan di Bursa Malaysia, LTAT dikatakan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian BHB.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Saham Boustead lonjak 30.53%, menyamai harga tawaran LTAT dalam dagangan pagi 3 Mac

 

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams berkata penawaran tersebut akan memberi kesan kepada prestasi dana LTAT dan dividen serta pencen untuk kakitangan dan pesara Angkatan Tentera.

 

"Terdahulu, disebabkan oleh prestasi kewangan Pharmaniaga, ia memberi pulangan pelaburan yang lemah kepada BHB dan berikutan penawaran ini mengakibatkan LATA menanggung kos untuk mengambilnya secara persendirian dan menampung kerugian berkaitan," kata beliau.


 

Profesor Geoffrey Williams
Profesor Geoffrey Williams

 

 

Secara keseluruhan, Williams berkata ia berpotensi menyebabkan lebih banyak skop kerugian dalam satu segmen dilindungi oleh keuntungan dalam segmen lain yang tidak cekap atau menunjukkan prestasi yang kewangan yang cemerlang serta boleh merosakkan prestasi keseluruhan.

 

"Isu ini memberi implikasi yang lebih luas terhadap prestasi LTAT sebagai dana pencen yang menjadi perhatian selama bertahun-tahun," ujar beliau lagi.

 

Namun seorang lagi penganalisis, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, langkah LTAT ini perlu untuk memastikan kelangsungan LTAT itu sendiri.


 

wan farid
          Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 


Beliau yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTMmenambah, "untuk jangka masa pendek, LTAT perlu melindungi dan menjamin kelangsungan mereka".

 

"Jika transaksi korporat ini tidak dilakukan sekarang dan LTAT menunggu dengan lebih lama sambil berharap situasi akan bertambah baik, adakah situasi akan bertambah baik untuk Boustead?

 

"Atau adakah ia akan bertambah buruk? Ketidaktentuan ini terlalu tinggi dan membawa risiko yang besar kepada LTAT yang perlu menjamin kebolehan Lembaga itu membayar dividen yang baik untuk pencarum untuk warga Angkatan Tentera Malaysia," ujar beliau.

 

Namun, LTAT perlu memastikan ketelusan dan tata kelola yang baik diutamakan dalam penstrukturan semula Boustead jika berjaya dalam langkah penswastaan ini ekoran pelbagai masalah yang melanda anak-anak syarikat Boustead Holdings sebelum ini, kata beliau. – DagangNews.com