Teori Ibn Khaldun jadi panduan asas bentuk Kerajaan Pasca PRU15 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 25 November 2022

Teori Ibn Khaldun jadi panduan asas bentuk Kerajaan Pasca PRU15

 

 

 

SEJARAH, Tamadun dan Kerajaan adalah tiga aspek yang berbeza namun ketiga-tiga aspek ini bukan sahaja tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain tetapi juga saling melengkapi antara satu sama lain.

 

Apabila kita membaca sejarah, secara tidak langsung kita akan melalui tamadun dan dalam setiap tamadun akan wujudnya kerajaan.

 

Ibnu Khaldun ada menulis dengan panjang lebar mengenai jatuh bangun sesebuah tamadun yang boleh difahami dengan ‘Teori Kitaran’ ataupun dikenali sebagai “ Social Cycle Theory” di sebelah barat.


 

Teori Kemasyarakatan Ibn Khaldun
Teori Kemasyarakatan Ibn Khaldun

 


Selain Ibn Khaldun, teori seperti ini juga ada diutarakan oleh Plato dan ramai lagi ahli falsafah apabila membicarakan mengenai perkembangan dan jatuh bangun sebuah kerajaan yang mewakili satu masyarakat itu. Ia boleh diumpamakan seperti sebuah roda yang berputar melengkapkan kitaran hayatnya.

 

Kita memberikan fokus pada dua fasa terakhir di mana dengan jelas dalam setiap kerajaan yang telah jatuh.

 

Kelima-lima fasa ini akan berulang dan terus berulang. Adakah fasa-fasa ini tidak dapat diubah dan akan terus berlaku? Sebenarnya itulah kenyataannya.

 

Sejarah akan terus berulang dan berulang dengan sendirinya. Sekalipun kerajaan itu peka akan keadaan ini, mereka masih tidak dapat mengelaknya dan apa yang dapat mereka lakukan hanyalah memanjangkan hayat sesuatu kerajaan.

 

 

ibn khaldun
3 fasa dalam Teori Kemasyarakatan Ibn Khaldun, iaitu kemunculan, kekuasaan, dan kejatuhan

 

 

Ibn Khaldun melakarkan di dalam Teori Kitarannya bagaimana jatuh bangun sebuah tamadun yang diwakili oleh sesebuah kerajaan.

 

Beliau meletakkan sebanyak 3 fasa, iaitu kemunculan, kekuasaan, dan kejatuhan.

 

Bagi Ibnu Khaldun kemunculan sesebuah tamadun atau kerajaan dimulai dengan perasaan ‘kekitaan’ atau kebersamaan ini amat dapat dilihat pada ciri-ciri masyarakat di awal kemerdekaan dan kerajaan ketika itu dibentuk di atas semangat perjuangan menuntut kemerdekaan yang sangat harmoni.

 

Pada ketika itu kerajaan yang di bentuk lebih mudah kerana masyarakat hidup saling memerlukan antara satu sama lain dalam kelompok kecil. Atau bahasa mudahnya kelompok yang ‘satu kepala’. Atau sealiran.

 

Asas inilah yang melahirkan sesebuah kerajaan atau tamadun di Malaysia amat kukuh. Namun, akibat kezaliman dan penindasan, perkembangan tamadun ini akan jatuh.

 

Jika kita sorot pembentukan kerajaan di negara kita tidak lepas menjalani tiga fasa ini.

 

Dalam fasa pertama di awal zaman kemerdekaan yang di mana kerajaan amat mudah dibentuk merupakan tahap permulaan dalam kewujudan sesebuah negara. Dalam peringkat ini masyarakat akan bersatu untuk mewujudkan sebuah negara.

 

 

tunku

 

 

Fasa kedua adalah fasa pemusatan kekuasaan sehingga akan timbul keinginan pemerintah untuk memonopoli kekuasaan, zaman sepanjang Barisan Nasional membentuk kerajaan di mana kita menyaksikan banyak parti gabungan baik dari Semenanjung Malaysia dan Sabah mahu pun Sarawak bergabung untuk pemusatan kuasa.

 

Fasa ketiga pula merupakan fasa kemuncak pencapaian tamadun sesebuah kerajaan dalam semua aspek termasuklah politik, sosial dan ekonomi. Tahap terakhir ialah fasa di mana sesebuah negara atau tamadun itu akan jatuh. Ini adalah merupakan masanya zaman pasca PRU15.

 

Perkara yang menentukan lambat atau cepatnya jangka masa sesebuah kitaran itu bergantung kepada strategi sesebuah kerajaan itu untuk mengekalkan untuk tidak menjadi alpa dan kurang mengambil perhatian terhadap masyarakat yang diperintah.

 

Ini adalah kerana pada fasa ini biasanya akan timbulnya pelbagai masalah. Biasanya masalah rasuah, pemberontakan generasi muda, masalah sosial, masalah ekonomi dan sebagainya.

 

Keadaan pembentukan kerajaan pasca PRU15 ini jelas telah menyokong pengenalan teori kitaran yang diperkenalkan oleh Ibn Khaldun dan membolehkan pengkajian terhadap usia sesebuah kerajaan atau negara dapat dilakukan dengan lebih baik dan terurus.

 

 

Ibn Khaldun

 

 

Di samping itu, hubung kait kejatuhan dan kegemilangan sesebuah negara turut dapat dilihat dalam aspek teori ini yang melibatkan dalam faktor dalaman dan faktor luaran dalam sesebuah negara yang di dunia ini.

 

Biasanya selepas kejatuhan sesebuah kerajaan seperti hari ini, perlukan kerajaan yang baru yang akan menggantikan kerajaan terdahulu, maka dengan ini lengkaplah teori kitaran di mana kitaran tersebut akan berulang semula pada masa akan datang.

 

Untuk menyelesaikan masalah dan keadaan pembentukan kerajaan pasca PRU 15 ini Ibn Khaldun mencadangkan agar pemimpin seharusnya berlapang dada dan kita perlu merujuk kepada banyak ayat al-Quran yang menggambarkan bahawa keputusan PRU15 ini adalah fitrah dan ia berlaku akibat pusingan atau kitaran proses kemasyarakatan atau ketamadunan.

 

“…. Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, ”(Ali-Imran: 140).

 

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

Portfolio Tags