TCS raih kontrak RM119.61 juta bagi projek pembinaan kondominium Helix2 | DagangNews Skip to main content

TCS raih kontrak RM119.61 juta bagi projek pembinaan kondominium Helix2

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Pembekal perkhidmatan pembinaan bangunan dan infrastruktur, TCS Group Holdings Bhd. (TCS) meraih kontrak bernilai RM119.61 juta daripada Eupe PJ South Development Sdn Bhd (EPSDSB) membabitkan projek pembinaan kondominium servis Helix2 di Petaling Jaya, Selangor.

 

Kontrak tersebut diperoleh melalui melalui anak syarikat milik penuhnya, TCS Construction Sdn. Bhd. (TCSCSB) daripada EPSDSB yang merupakan anak syarikat milik penuh Eupe Corporation Berhad (Eupe).

 

Tempoh bagi kontrak berkenaan berkuat kuasa mulai Februari 2023 dan dijangka siap menjelang Februari 2025.

 

Kontrak tersebut terdiri daripada satu blok pangsapuri servis 34 tingkat dengan satu blok bangunan tempat letak kereta bersambung 12 tingkat.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan TCS, Datuk Ir Tee Chai Seng berkata, pihaknya yakin dapat melaksanakan tugas tersebut dalam tempoh masa ditetapkan.

 

Katanya, kontrak itu akan meningkatkan nilai kontrak kumpulan dan memberi pendapatan yang baik untuk tahun kewangan akan datang. 

 

"Keutamaan kami tertumpu pada pelaksanaan berkualiti dan penyampaian tepat pada masanya bagi projek yang sedang berjalan.

 

“Kami kekal positif terhadap prospek industri pembinaan berikutan inisiatif kerajaan dalam melaksanakan projek infrastruktur. 

 

"Secara keseluruhan, kami melihat peluang dan membida projek di bangunan kediaman dan komersial, projek infrastruktur, serta bangunan institusi," katanya. - DagangNews.com