Tandas Awam Esplanade Lumut terima pengiktirafan tandas terbaik peringkat ASEAN  | DagangNews Skip to main content

Tandas Awam Esplanade Lumut terima pengiktirafan tandas terbaik peringkat ASEAN 

Kebersihan Tandas Awam Esplanade Lumut memberi imej positif kepada Manjung sebagai daerah pelancongan popular di negeri Perak.
oleh ZAKI SALLEH

MANJUNG 6 Feb - Majlis Perbandaran Manjung telah diiktiraf pada peringkat antarabangsa apabila Tandas Awam Esplanade Lumut telah menerima anugerah Anugerah Tandas Awam ASEAN kedua 2023-2024.

 

Anugerah tersebut diterima pada Forum Pelancongan ASEAN 2023 yang berlangsung di Hotel Marriott Yogyakarta, Indonesia pada 5 Februari 2023.

 

Pencalonan dan penganugerahan adalah berdasarkan kategori Tandas Awam Esplanade Lumut yang berada di lokasi pelancongan dan mempunyai ciri-ciri 'wow factor'.

 

Ini termasuk elemen kitar semula di dalam dan di luar tandas serta mempunyai taman herba sebagai landskap bagi mengindahkan lagi kawasan tandas tersebut.

 

 

tandas
Tandas Awam Esplanade Lumut yang terletak di tengah-tengah pekan Lumut.

 

 

Kemenangan itu juga mengulangi kejayaan sebelum ini apabila Tandas Awam Esplanade Lumut dinobatkan sebagai tandas awam terbaik Malaysia.

 

Anugerah itu diterima pada Sambutan Hari Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

Tandas Awam Lumut yang dibina pada 2001 telah dinaik taraf pada 2016 manakala penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa dengan memberi penekanan kepada faktor keceriaan dan kebersihan.

 

Lokasi tandas ini yang terletak di tengah-tengah pekan Lumut juga memberi imej positif kepada Manjung sebagai daerah pelancongan popular di negeri Perak.

 

Keseluruhannya terdapat 20 buah tandas awam di bawah seliaan MPM di sekitar Lumut dan Manjung.

 

 

tandas
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing (empat dari kanan) dan Syamsul Hazeman (dua dari kiri) dengan hadiah kemenangan anugerah Tandas Awam ASEAN kedua 2023-2024 pada majlis khas di Yogjakarta, Indonesia pada 5 Februari 2023.

 

 

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama semua petugas yang terlibat.

 

Menurut beliau, usaha MPM tidak akan terhenti di sini dan pihaknya akan terus komited untuk meningkatkan taraf tandas-tandas awam lain.

 

"Bagaimana pun, pastinya sedikit masa dan kos diperlukan untuk tandas-tandas yang sebelum ini diselenggara oleh pihak operator. 

 

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh penduduk Manjung yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada MPM sehingga mampu melakar sejarah ini," ujarnya. - DagangNews.com