Tahap celik kewangan bukan sahaja rendah, lebih membimbangkan sanggup kongsi nombor PIN dengan kawan - kajian BNM | DagangNews Skip to main content

Tahap celik kewangan bukan sahaja rendah, lebih membimbangkan sanggup kongsi nombor PIN dengan kawan - kajian BNM

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Okt - Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati tahap celik kewangan digital masih rendah dan membimbangkan kerana kelalaian individu boleh menyebabkan risiko penipuan dalam talian semakin meningkat.

 

Malah, Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan (FCI) 2021 yang dijalankan bank pusat itu menunjukkan satu daripada tiga pengguna sanggup berkongsi kata laluan atau nombor PIN dengan kawan rapat.

 

Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew berkata, tindakan itu akan meningkatkan risiko penipuan dalam talian, termasuk diperalatkan sebagai 'akaun keldai' sama ada secara sedar atau tidak sedar bagi memudahkan kegiatan penipuan.

 

Katanya, hampir dua daripada tiga individu juga didapati tidak memberikan perhatian pada ciri-ciri keselamatan laman sesawang sebelum mereka melakukan transaksi dalam talian.

 

"Akibatnya, individu lebih mudah diperdaya untuk memberikan maklumat perbankan mereka melalui laman sesawang palsu yang membolehkan penipu menggunakan maklumat tersebut untuk melakukan penipuan. 

 

"Penggunaan peranti dan aplikasi mudah alih yang kurang teliti juga telah menyebabkan individu menjadi mangsa penipuan seperti pancing data (phishing), penggodaman dan kecurian data," katanya.

 

Beliau berkata demikian sempena pelancaran Bulan Literasi Kewangan 2022 (FLM2022) anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).

 

BNM
Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew (tengah) selepas melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2022 anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan.

 

 

FLM2022 merupakan acara utama tahunan FEN untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai isu-isu kewangan penting dan menambah baik tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. 

 

Acara itu yang akan berlangsung sepanjang Oktober 2022 bertujuan untuk menyebarkan kesedaran dan
pendidikan kewangan, terutamanya tentang celik kewangan digital.

 

Menurut Chew, bank pusat kini memberi keutamaan untuk membanteras penipuan tersebut dan akan terus bekerjasama dengan industri kewangan, agensi kerajaan dan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang untuk meningkatkan lagi tindak balas insiden penipuan perbankan dan pembayaran serta tindakan pemulihan.

 

Selain usaha tersebut, katanya, meningkatkan celik digital dan kewangan akan menjadi sangat penting untuk membina dan mengekalkan keyakinan dalam penggunaan perkhidmatan kewangan digital.

 

"Mempelajari cara menggunakan perkhidmatan kewangan digital dengan selamat hanyalah satu dimensi.

 

"Matlamat penting untuk meningkatkan celik kewangan digital juga adalah untuk membantu individu menggunakan perkhidmatan kewangan digital dengan lebih baik bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan," jelasnya. - DagangNews.com