TA Research kekal saranan 'beli' terhadap Ranhill Utilities | DagangNews Skip to main content

TA Research kekal saranan 'beli' terhadap Ranhill Utilities

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Dis -TA Securities Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Ranhill Utilities Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 48 sen daripada 50 sen sesaham sebelum ini. 

 

Sejajar dengan semakan TP itu, ia mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 17%,3% dan 2%.

 

Ini berikutan keuntungan teras bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 sebanyak RM21.3 juta adalah di bawah jangkaan firma dan konsensus dengan masing-masing merangkumi 62% dan 61% daripada anggaran penuh FY22 disebabkan pengiktirafan nilai kontrak yang lebih rendah untuk Ranhill Worley (RW) dan Ranhill Bersekutu (RB).

 

Menurut firma itu, penguncupan keuntungan setakat ini sebahagian besarnya berpunca daripada penurunan hasil pembinaan bagi segmen alam sekitar memandangkan kerja-kerja pengembangan yang lebih kecil di China.

 

"Ini lebih daripada mengimbangi sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen perkhidmatan yang merekodkan keuntungan lebih daripada dua kali ganda.

 

"Keuntungan yang menguncup bagi suku ke suku pula disebabkan terutamanya oleh kelemahan pada segmen perkhidmatan berikutan hasil yang lebih rendah dan pemampatan margin," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, untung bersih Ranhill meningkat kepada RM9.32 juta daripada RM8.52 juta dengan merekodkan pendapatan sebanyak RM433.99 juta, lebih tinggi daripada RM380.6 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih untuk tempoh kumulatif sembilan bulan susut kepada RM23.71 juta daripada RM24.87 juta dengan pendapatan meningkat kepada RM1.29 bilion daripada RM1.11 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Menurut TA Research, projek pemangkin jangka pendek hingga sederhana kumpulan yang mungkin mendorong kepada pendapatan termasuklah projek Sistem Air Djuanda (Indonesia) dan loji CCGT 100MW (Pantai Barat Sabah).

 

Pada masa ini, katanya, semakan semula Djuanda sedang dijalankan dengan kementerian dan pihak yang mengambil alih projek tersebut.

 

"Sementara itu, tarif air untuk sektor bukan domestik di Johor akan dinaikkan berikutan kelulusan Kabinet awal pada Julai 2022 dan kini sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri. 

 

"Kami percaya ini sudah lama tertunggak memandangkan kelewatan yang berpanjangan sejak 2016, dan ditambah dengan infrastruktur air yang sudah lama dan tekanan inflasi," jelasnya.

 

Setakat 11.15 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 1.2% kepada 42 sen dengan 390,400 saham diniagakan. - DagangNews.com