Syarikat perladangan Malaysia dijangka catat hasil lebih lemah pada suku keempat - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Syarikat perladangan Malaysia dijangka catat hasil lebih lemah pada suku keempat - RHB Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Jan - Syarikat perladangan Malaysia dijangka merekodkan hasil yang lebih lemah bagi suku keempat 2022 disebabkan penurunan pengeluaran buah tandan segar dan harga minyak sawit mentah.

 

Menurut RHB Research, walaupun purata pengeluaran buah tandan segar berkembang 5% tahun ke tahun pada suku keempat, tetapi harga minyak sawit mentah susut 24% tahun ke tahun.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, pengeluaran buah tandan segar menurun 0.5% manakala harga minyak sawit mentah susut 1%, mencerminkan hasil yang lebih rendah bagi suku ke suku.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan syarikat perladangan di negara ini akan merekodkan hasil tahun ke tahun yang lebih lemah pada suku keempat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dan IOI Corp. Bhd.

 

Ia menjangkakan dua syarikat perladangan di bawah liputannya iaitu KLK dan FGV Holdings Bhd. akan merekodkan pengeluaran buah tandan segar yang melebihi unjuran manakala IOI Corp. pula akan mencatatkan pengeluaran yang lemah.

 

Bagi syarikat perladangan yang mempunyai operasi hiliran di Indonesia, firma itu mengunjurkan marginnya akan meningkat suku ke suku pada suku keempat apabila pengecualian cukai telah berakhir pada pertengahan November 2022.

 
"Oleh itu, perbezaan cukai antara produk huluan dan hiliran harus melebar, menghasilkan margin hiliran yang lebih baik.

 

"Bagaimanapun, pemain hiliran Malaysia mungkin menyaksikan margin suku ke suku yang lebih mengecil susulan pengembalian semula levi, memandangkan persaingan sengit bermula dari Indonesia," jelasnya.

 

Menurutnya, aliran pendapatan antara syarikat perladangan Malaysia dan Indonesia mungkin berbeza-beza pada suku keempat, disebabkan perubahan dalam struktur cukai di Indonesia pada pertengahan November lalu. - DagangNews.com