Syarikat mati selepas pemegang saham mati? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 8 March 2023
WasiyyahShoppe

SYARIKAT MATI SELEPAS PEMEGANG SAHAM MATI ?

 

 

 

SEPERTI yang saya janjikan minggu lepas, minggu ini saya akan menulis tentang pewarisan perniagaan.

 

Saya adalah antara beberapa orang di dalam industri perancangan harta yang kerap bercakap isu ini semenjak 18 tahun lepas.

 

Ini kerana saya banyak melihat di depan mata saya sendiri bagaimana sesuatu syarikat itu mati selepas kematian pemegang saham atau pengasasnya.

 

Seperti yang saya ceritakan minggu  lepas, dari segi hukum syarak, saham syarikat yang dimiliki juga merupakan harta pusaka apabila pemegang saham itu meninggal dunia. Ini bermakna semua waris mengikut hukum faraid berhak ke atasnya mengikut bahagian masing-masing.

 

Apabila kita mati, selain pasangan dan anak-anak ibubapa juga merupakan waris yang berhak ke atas harta pusaka. Cabarannya ialah kerana setiap seorang daripada kita mempunyai waris-waris yang berbeza.

 

Biasa juga saya berjumpa kes di mana adik-beradik, datuk malah anak saudara pun berhak ke atas harta pusaka itu bergantung kepada struktur keluarga kita.

 

Bahagian mereka ini WAJIB diberikan kerana ia adalah ketentuan hukum. Jika dinafikan, hukumnya haram dan berdosa kepada yang menafikan hak itu kecualilah jika waris-waris mengikut hukum faraid itu dengan sukarela menolak bahagian mereka dan menyerahkannya kepada orang lain.

 

Proses ‘takharruj’ ini perlu melalui kaedah yang betul sebagaimana ditetapkan hukum syarak dan undang-undang pentadbiran harta pusaka yang berkenaan.   

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Ramai ahli perniagaan yang saya jumpa sepanjang 18 tahun ini , mempunyai perancangan legasinya yang tersendiri. Mereka mungkin telah mendidik anak-anak mereka yang mereka mahukan menjadi pemimpin perniagaan mereka pada masa hadapan apabila mereka  telah mati.

 

Dalam perancangan mereka, anak-anak ini yang telah didedahkan dengan  selok-belok perniagaan akan meneruskan legasi perniagaan mereka mengikut acuan yang mereka tetapkan.

 

Namun jika mereka gagal membuat pewarisan perniagaan dengan cermat dan berhati-hati semasa masih hidup, hasrat ini mungkin tidak akan tercapai.

 

Bila mereka mati kelak, waris-waris mengikut hukum faraid lain yang langsung tidak tahu hujung pangkal tentang perniagaan mereka juga merupakan orang yang bakal menjadi pemegang saham seterusnya berdasarkan hak mereka mengikut hukum faraid (selepas segala proses turun milik saham selesai).

 

Keadaan ini akan mewujudkan pelbagai risiko yang berpotensi menyebabkan syarikat itu menyusul kematian pemegang saham. Risiko yang paling ketara ialah akan wujud konflik di antara pasangan dan anak-anak dengan waris-waris yang lain.

 

Anak-anak yang telah bertungkus-lumus bertahun-tahun lamanya bekerja di dalam syarikat akan merasa tidak puas hati kerana mereka perlu berkongsi saham peninggalan  dengan waris-waris lain seperti datuk, nenek, bapa saudara dan ibu saudara yang selama ini tidak pernah tahu menahu langsung tentang perjalanan syarikat.

 

Hari ini kita dihidangkan di dada akhbar dan media sosial mengenai perjalanan kes perebutan saham syarikat di antara ibu simati dengan pasangan dan anak-anak simati.

 

Pastinya hubungan kekeluargaan di antara mereka telah pun musnah dan kes mereka menjadi buah mulut masyarakat. Maka bertebaranlah pelbagai fitnah kepada mereka mahupun kepada simati.

 

Ini risiko yang sangat jelas kepada pemegang saham syarikat. Untungnya syarikat itu diuruskan secara profesional jadi operasi syarikat tidak terjejas. 

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Bagi syarikat berstatus sdn bhd, pemegang saham (tertakluk kepada perjanjian pemegang saham atau peruntukan perlembagaan syarikat) ialah orang yang mempunyai kuasa melantik ahli Lembaga pengarah.

 

Ahli Lembaga pengarah pula ialah orang yang secara langsung mempunyai kawalan dan kuasa ke atas operasi syarikat termasuklah membuat keputusan berkaitan polisi perniagaan dan pengurusan kewangan.

 

Dalam banyak keadaan yang saya temui, pemegang sahamnya juga merupakan ahli Lembaga pengarah. Oleh itu apabila individu ini mati, akan wujud kekosongan di dalam Lembaga Pengarah.

 

Keadaan bertambah teruk apabila penandatangan cek syarikat atau ‘maker’ dan ‘checker’ bagi bayaran internet syarikat ialah ahli Lembaga pengarah berkenaan. 

 

Untuk menukar urusan kawalan akaun syarikat ini, resolusi Lembaga pengarah baru perlu dibuat. Masalahnya apa sahaja resolusi syarikat tidak boleh dibuat sehinggalah ahli Lembaga pengarah baru dilantik.

 

Ahli Lembaga pengarah baru pula hanya boleh dilantik dengan persetujuan kesemua pemegang saham termasuk pemegang saham baru yang menggantikan pemegang saham yang telah mati.

 

Proses penentuan pemegang saham baru pula akan tertakluk kepada proses di Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa menentukan siapakah waris yang berhak ke atas saham itu sama ada berdasarkan hukum faraid, wasiat atau hibah yang dibuat simati semasa hidupnya.

 

Proses di Mahkamah Tinggi Sivil ataupun Pejabat Pusaka Kecil juga akan berlaku bagi menetapkan pula siapakah Pentadbir kepada keseluruhan harta pusaka termasuklah saham itu.

 

Hanya selepas perbicaraan dilalui dan Pentadbir dilantik di dalam Geran Probet atau Letter of Administration (kes Mahkamah Tinggi Sivil) atau Surat Kuasa Mentadbir (Pejabat Pusaka Kecil) , barulah Pentadbir boleh pergi ke setiausaha syarikat untuk memohon saham yang di atas nama simati itu diturun milik ke atas nama Pentadbir.

 

 

parafrasa

 

 

Selepas selesai proses turun milik ini, barulah saham syarikat itu boleh dipindah milik pula oleh Pentadbir kepada nama waris-waris yang berhak seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah. Perkhidmatan kedua-dua peguam syariah dan peguam sivil diperlukan bagi melengkapkan proses ini.     

 

Adakah mudah untuk melalui semua proses turun milik saham syarikat ini?

 

Dari cerita ringkas saya di atas (sebenarnya isu yang terlibat lebih banyak dan terperinci), anda boleh bayangkan sendiri proses teknikal undang-undang yang bakal berlaku.

 

Bagi waris yang tidak tahu langsung bagaimana mahu bermula, proses ini akan memakan masa bertahun-tahun lamanya dan menekan perasaan.

 

Bagaimana pula dari sudut kos? Adakah murah untuk menyelesaikannya? Anda fikirkanlah sendiri. 

 

Apa pula akan jadi kepada syarikat jika isu perwarisan saham syarikat ini berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan?

 

Pastinya operasi syarikat akan terjejas dengan teruk kerana bayaran gaji kepada kakitangan, bayaran kepada pembekal, bayaran pinjaman kepada pembiaya dan segala urusan yang berkaitan dengan kewangan syarikat akan terganggu akibat ketiadaan ahli Lembaga pengarah di atas.

 

Siapa pula yang akan mengambil tanggungjawab apabila di celah-celah proses ini berlaku, syarikat disaman pula oleh pihak-pihak yang berkepentingan? Sekali lagi, anda fikirlah sendiri.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Saya secara konsisten telah bercakap tentang isu ini semenjak sekian lama. Namun tidak ramai pemegang saham yang mengambil serius.

 

Fokus mereka ialah kepada menjadikan perniagaan mereka berjaya dan kaya. Apa yang mereka tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu ialah apa sahaja kekayaan dan kejayaan yang mereka bina untuk perniagaan mereka berkemungkinan akan musnah sebaik sahaja mereka mati.

 

Syarikat itu akan terkubur sama seperti jasad mereka juga. Ambillah tindakan yang bijak dengan merancang pewarisan perniagaan anda. Insya-Allah, Wasiyyah Shoppe Berhad boleh membantu. – DagangNews.com

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd
ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags