Sumbangan Tunai Rahmah: Kerajaan terima 574,886 permohonan baharu | DagangNews Skip to main content

Sumbangan Tunai Rahmah: Kerajaan terima 574,886 permohonan baharu

KUALA LUMPUR 28 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat hari ini terdapat tambahan sebanyak 574,886 permohonan baharu yang diterima bagi inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

 

Beliau berkata pembayaran fasa pertama STR telah dilaksanakan pada 17 Jan lepas melibatkan seramai 8.7 juta penerima melibatkan pembayaran berjumlah RM1.67 bilion, fasa kedua pula akan dilaksanakan pada 5 April, manakala fasa ketiga akan dilakukan pada Ogos atau selewat-lewatnya Oktober.

 

Menurut beliau, berdasarkan kajian yang dibuat, setakat 15 Mac lalu, terdapat sejumlah 123,243 KIR dalam kalangan miskin tegar telah berdaftar eKasih.

 

"Tetapi saya sengaja kembangkan kepada jumlah 130, 000 KIR kerana saya bimbang ada beberapa jumlah baharu yang tidak termasuk sepanjang tahun ini.

 

“Kalau ikut perkembangan sekarang sehingga Mac dan dengan keupayaan jabatan keseluruhannya yang turut  diselenggara oleh pejabat-pejabat daerah, kita mampu mengenal pasti dan menokhtahkan kemiskinan,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, menurut laporan Bernama.


 

parafrasa

 


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu pendekatan terbaharu dan kemajuan pelaksanaan Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan secara holistik agar dapat membangunkan negara serta masyarakat Madani yang menjadi contoh di rantau ini. - DagangNews.com