Subahan Kamal dilantik sebagai Pengerusi Perkeso baharu | DagangNews Skip to main content

Subahan Kamal dilantik sebagai Pengerusi Perkeso baharu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 6 Okt - Kementerian Sumber Manusia mengumumkan pelantikan Dato’ Sri Subahan Kamal sebagai Pengerusi Lembaga Perkeso, berkuat kuasa 4 Oktober.

 

Subahan, 57, menggantikan Yang Berhormat Senator Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa yang telah memegang jawatan berkenaan untuk tempoh lebih 2 tahun 3 bulan, sebelum dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 26 September lalu.

 

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Perakaunan dengan pengkhususan Kewangan dari Universiti of Southern Illinois, Amerika Syarikat juga telah ditauliahkan dengan Certificate of Marine Cargo Technical Claims dan Certificate of Liability Insurance oleh Institut Insurans Malaysia.

 

Subahan juga berpengalaman luas dalam pelbagai industri menerusi syarikat senaraian awam dan persendirian, termasuk industri pembinaan, pembuatan, pembangunan hartanah, makanan dan minuman (F&B), media, perbankan serta insurans.

 

"Beliau juga banyak menyumbang jasa dalam arena sukan negara termasuk sukan bola sepak dan hoki. Dato’ Sri Subahan kini memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Perbadanan Stadium Malaysia, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia dan juga Kelab Bola Sepak PJ City Football Club.

 

"Beliau juga pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor sebagai Presiden sehingga Julai 2018," kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Menurutnya, pengalaman, pengetahuan dan profesionalisme beliau merupakan satu aset yang akan memberikan lonjakan besar buat Perkeso dalam meneruskan agenda perluasan perlindungan keselamatan sosial yang menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana rakyat Malaysia, selari dengan konsep ‘from womb to tomb’.

 

"Saya juga yakin, kepimpinan beliau dalam menerajui Lembaga Perkeso dapat meningkatkan lagi tahap tadbir urus, integriti dan mutu perkhidmatan agensi ini kepada pelanggan dan rakyat, khususnya semasa tempoh pascapandemik COVID-19 ini.

 

"Saya juga turut ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Senator Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa atas sumbangan dan khidmat bakti beliau sebagai Pengerusi Lembaga Perkeso selama 27 bulan sebelum ini terutamanya tatkala Perkeso memainkan peranan pentingnya membantu seluruh Keluarga Malaysia mendepani impak pandemik COVID-19," ujar beliau. - DagangNews.com