Skip to main content

Skim bantuan Musim Tengkujuh untuk pekebun kecil Risda ditambah baik

KUALA NERANG 5 Okt - Kabinet bersetuju meluluskan Penambahbaikan skim Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun kecil getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perincian penambahbaikan itu akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

 

"Dah ada kelulusan dalam kabinet iaitu Bantuan Musim Tengkujuh (untuk pekebun kecil getah, (tapi) biar Perdana Menteri umumkan nanti."

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar IPT Parlimen Padang Terap di sini hari ini.

 

Jelas Mahdzir, penambahbaikan BMT itu dijangka memberi manfaat kepada 232,000 pekebun kecil getah Risda di seluruh negara.

 

Ketika ini pekebun kecil Risda menerima BMT berjumlah RM300 sebulan untuk tempoh tiga bulan.

 

mahdzir khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan bantuan sara hidup kepada pelajar di Padang Terap pada 5 Oktober 2022.

 

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengemukakan dua syor kepada Perdana Menteri bagi membela nasib pekebun kecil getah Risda yang terkesan akibat harga getah yang rendah. 

 

Syor tersebut adalah menaikkan harga lantai getah sekerap daripada harga semasa RM2.50 sekilogram atau melanjutkan tempoh BMT daripada tiga bulan kepada enam bulan. - DagangNews.com