Setelah 5 dekad di KL, Ajinomoto berpindah ke kompleks kilang baharu di Seremban | DagangNews Skip to main content

Setelah 5 dekad di KL, Ajinomoto berpindah ke kompleks kilang baharu di Seremban

Ajinomoto memulakan operasi di kilang Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada 1965.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Nov - Ajinomoto (M) Bhd akan berpindah ke kompleks kilang baharunya di Seremban, Negeri Sembilan setelah lebih lima dekad beroperasi di Kuchai Lama di sini.

 

Dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia, pengeluar perasa itu berkata Lembaga Pengarah syarikat telah meluluskan penempatan semula tersebut dan turut meluluskan nilai prospek berpotensi bagi pelupusan tanah di Kuchai Lama.

 

“Sebagai sebahagian daripada penilaian, syarikat akan mempelawa pihak yang berminat dari pasaran terbuka untuk membuat tawaran membeli tanah untuk pertimbangan syarikat.

 

"Keputusan akhir mengenai pelupusan tanah hanya akan dibuat oleh lembaga pengarah selepas selesai penilaian," kata Ajinomoto.

 

Menurut laporan tahunan 2022 Ajinomoto, syarikat itu memulakan operasi di kilang Kuchai Lama pada 1965, lebih lima dekad lalu.

 

Ajinomoto pada 2019 telah berkongsi rancangan syarikat untuk memindahkan kilangnya ke Negeri Sembilan memandangkan pembangunan komersil, kediaman dan infrastruktur Kuchai Lama yang pesat.

 

Sebelum ini dilaporkan syarikat itu melabur RM355 juta untuk pembinaan kilang baharu itu termasuk pejabat korporat Ajinomoto di Techpark @ Enstek di Seremban, Negeri Sembilan.

 

 

aji
Majlis pecah tanah tapak kilang baharu Ajinomoto pada 15 Oktober 2019

 

aji
Lakaran kompleks kilang baharu Ajinomoto

 


Untung bersih susuh 67.2% bagi Q2FY2023

Sementara itu, Ajinomoto mencatatkan kejatuhan 67.2% dalam keuntungan bersihnya kepada RM2.94 juta bagi suku kedua berakhir 30 Sept 2022 (2QFY2023), daripada RM8.95 juta setahun sebelumnya, walaupun mencatat hasi 43.69% lebih tinggi sebanyak RM158.15 juta daripada RM110.07 juta.

 

Menurutnya, pendapatan lebih lemah adalah punca kerugian operasi RM1.9 juta yang dicatatkan oleh perniagaan penggunanya berikutan kenaikan harga pembelian bahan mentah utama dan kos pengangkutan yang lebih tinggi.

 

“Selain itu, syarikat menanggung perbelanjaan pentadbiran dan penjualan yang lebih tinggi termasuk kos kakitangan, kos peralihan berkaitan pemindahan kilang dan perbelanjaan promosi jualan pada suku semasa.

 

"Perbelanjaan kewangan lain ialah RM800,000 pada suku semasa selepas pengiktirafan kos pembiayaan yang timbul daripada kemudahan pembiayaan Islam," tambahnya.

 

Sementara itu, syarikat itu berkata hasil bagi suku itu dirangsang oleh sumbangan lebih tinggi daripada kedua-dua segmen perniagaan pengguna dan segmen perniagaan industrinya berikutan volum jualan yang lebih tinggi dan harga jualan yang lebih baik dalam pasaran domestik dan eksport.

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Sept 2022 (6MFY2023), keuntungan bersih Ajinomoto menyusut lebih sepuluh kali ganda kepada RM2.09 juta daripada RM24.16 juta tahun lepas, manakala hasil terkumpul meningkat 33.01% kepada RM299.66 juta daripada RM225.14 juta .

 

Melangkah ke hadapan, Ajinomoto berkata syarikat menjangkakan prospek akan mencabar berikutan harga pembelian bahan mentah utama yang tinggi, kadar pertukaran asing yang tidak menentu dan tekanan inflasi ke atas kos operasinya.

 

"Pihak pengurusan akan terus memantau kemajuan ekonomi, mengkaji semula strategi jualannya dan mengukuhkan pengurusan kos untuk mengekalkan pertumbuhan perniagaan," tambah syarikat itu. - DagangNews.com