Selepas pelantikan PM, tiba masanya kerajaan tumpu pada Bajet 2023 - penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Selepas pelantikan PM, tiba masanya kerajaan tumpu pada Bajet 2023 - penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Nov - Pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) amat penting terutamanya dalam pembentangan versi baharu Bajet 2023, berikutan prospek ekonomi mencabar pada tahun hadapan, demikian menurut penganalisis. 

 

Kerajaan perpaduan nasional yang dibentuk setakat ini membabitkan penyertaan tiga komponen utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 135 kerusi di Parlimen.

 

Pelantikan Pengerusi PH yang juga Presiden PKR sebagai Perdana Menteri ke-10 diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pagi semalam, setelah hampir seminggu tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya  membentuk kerajaan selepas PRU15, Sabtu lalu. 

 

MIDF Research berkata, bajet yang berkembang adalah penting untuk 2023 kerana negara dijangka menghadapi kelembapan ekonomi global, harga komoditi yang tinggi, pengetatan dasar monetari di banyak negara dan konflik geopolitik yang masih berterusan.

 

Jelasnya, Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan akhir tahun ini, juga penting bagi membantu menangani isu di peringkat domestik, antaranya kos sara hidup, gaji dan upah rendah serta ketidaksamaan pendapatan. 

 

"Walaupun kerajaan yang baru dibentuk dilihat stabil dan kukuh dari segi kerusi Parlimen, tetapi masih terdapat risiko ketidakstabilan politik terutamanya jika parti-parti tersebut gagal mencapai kesepakatan dalam dasar dan perkara tertentu.

 

"Namun, penjajaran politik baharu ini dilihat mampu menurunkan suhu politik di negara ini dan mengukuhkan pelaksanaan dasar fiskal kerajaan sekurang-kurangnya dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Menurut firma itu, perbelanjaan kerajaan dan pelaburan awam masing-masing menyumbang kira-kira 12.5% dan 4% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mempunyai kerajaan yang stabil mungkin dapat menyokong pertumbuhan ekonomi yang stabil menjelang 2023.

 

Oleh itu, ia menjangkakan ekonomi Malaysia tahun ini akan berkembang 8% sebelum menyederhana kepada 4.2% pada 2023.

 

"Memperkukuh permintaan dalam negeri, perbelanjaan pengguna yang kukuh, kadar pengangguran yang lebih rendah dan tekanan inflasi stabil diramalkan akan menyokong pertumbuhan KDNK tahun depan.

 

"Melihat kepada manifesto PH, kami percaya kerajaan akan mengekalkan mekanisme subsidi bahan api, justeru, kami mengunjurkan kadar inflasi utama sekitar 2.3% pada 2023," jelasnya.

 

Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu, tidak sempat diluluskan memandangkan Parlimen dibubarkan pada Oktober bagi memberi laluan kepada PRU15, 19 November lalu. 

 

PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

 

Daripada 220 kerusi dipertandingkan, PH memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi manakala BN yang tewas pada PRU14 sebelum ini, hanya memperoleh 30 kerusi.

 

 

Bursa Malaysia

 

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, pasaran akan terus diselubungi kebimbangan yang berlarutan mengenai kerapuhan pakatan disebabkan ideologi mereka yang berbeza sementara menantikan pembentukan struktur kerajaan perpaduan.

 

Menurutnya, pasaran akan terus memerhati dengan rapat perkembangan berhubung pembentukan Kabinet baharu, yang dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 10 hari, sidang pertama Parlimen pada 19 Disember ini dan pembentangan Bajet 2023. 

 

Selain itu, katanya, pelabur juga akan tertumpu kepada pemilihan parti UMNO (enam bulan selepas PRU15) dan pilihan raya negeri di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah pada tahun hadapan.

 

"Namun, dengan pembentukan kerajaan baharu ini, pasaran menyaksikan kenaikan (semalam melonjak sehingga 4%) berikutan berakhirnya isu Parlimen tergantung, kerajaan perpaduan akan membentuk 135 kerusi di Parlimen dan sekembalinya pelabur asing berikutan jangkaan kestabilan politik dan pertumbuhan di Malaysia," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu menaikkan unjuran FBM KLCI kepada 1,602 mata daripada 1,484 mata sebelum ini. 

 

Pada 9.06 pagi ini, indeks penanda aras utama itu susut 0.26 mata kepada 1,501.62 mata daripada penutupan semalam pada 1,501.88 mata.

 

Ringgit pula terus menokok dengan meningkat 0.38% berbanding dolar AS. Setakat 9 pagi, ia berlegar pada RM4.4760/4810, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.4910/5000. - DagangNews.com