Segmen pembungkusan plastik Scientex dijangka terjejas akibat permintaan perlahan, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Segmen pembungkusan plastik Scientex dijangka terjejas akibat permintaan perlahan, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mac - Kenanga Research menjangkakan segmen pembungkusan plastik Scientex Berhad terus terjejas akibat permintaan yang perlahan untuk bahagian pembungkusan plastik industri.

 

Firma itu berkata, permintaan perlahan itu didorong kelembapan ekonomi global walaupun pembungkusan plastik pengguna kekal berdaya tahan.

 

Katanya, keadaan itu akan menjadi lebih sukar dengan kenaikan kos operasi, kos tenaga dan kos tenaga kerja yang lebih tinggi.

 

"Walaupun bahagian hartanahnya yang memberi fokus kepada kediaman mampu milik bertahan dengan baik, kami mengambil kira kenaikan kadar gadai janji dan kos pembinaan yang boleh mendorong produknya berada di luar jangkauan sesetengah pembeli berpotensi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan untung bersih 13.5% bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2023 (2QFY23), didorong peningkatan jualan dan kemajuan pembinaan dalam perniagaan pembangunan hartanah kumpulan.

 

Walaupun segmen pembungkusan kumpulan merekodkan jualan yang lebih rendah untuk 2QFY23 namun kumpulan itu mampu meningkatkan pendapatan untuk bahagian ini, hasil gabungan produk yang lebih baik.

 

Untung bersih meningkat kepada RM106.29 juta bagib 2QFY23 daripada RM93.69 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat 2.8% kepada RM978.39 juta daripada RM952.00 juta sebelumnya.

 

Firma itu kekal berhati-hati terhadap kumpulan itu didorong kelemahan permintaan perniagaan pembungkusan berikutan kelembapan ekonomi.

 

Selain itu katanya, produk pembungkusan plastik komoditinya yang lebih terdedah kepada persaingan harga terutamanya dalam pasaran yang lemah dan kenaikan kadar faedah dan kos pembinaan yang boleh menjejaskan permintaan untuk pelancaran hartanah baharunya.

 

Firma itu menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'underperform' berbanding 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM2.99 sesaham. - DagangNews.com