Sedania sertai pasaran gadai janji Islam bernilai RM200 bilion selepas peroleh 20% kepentingan Wasiyyah Shoppe | DagangNews Skip to main content

Sedania sertai pasaran gadai janji Islam bernilai RM200 bilion selepas peroleh 20% kepentingan Wasiyyah Shoppe

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Sedania Innovator Bhd bersedia untuk mencapai satu lagi tahap pertumbuhan apabila ia memasuki pasaran gadai janji Islam yang menguntungkan bernilai kira-kira RM200 bilion, yang mana kira-kira 75% daripadanya dipegang penduduk Islam negara ini.

 

Ini berikutan selesainya pemerolehan 20% kepentingan dalam Wasiyyah Shoppe Bhd, syarikat amanah patuh syariah nombor di negara ini.

 

Pemerolehan penyedia penyelesaian pewarisan dan perancangan harta pusaka patuh syariah dibuat melalui unit fintechnya, Sedania As Salam Capital Sdn Bhd dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM3 juta, dibiayai sepenuhnya melalui tunai.

 

Di bawah perjanjian pemerolehan ekuiti, Wasiyyah Shoppe menyediakan jaminan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3 juta dalam tempoh kewangan 24 bulan bermula 30 Jun 2024.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pemerolehan Wasiyyah Shoppe sudah pasti merupakan langkah strategik untuk meningkatkan Sedania ke peringkat seterusnya dalam menyediakan penyelesaian fintech Islam inovatif dan lestari kepada pelanggannya.

 

“Model perniagaan dan nilai yang dipegang oleh Wasiyyah Shoppe sepadan dengan misi kami untuk meningkatkan kehidupan secara lestari.

 

"Ini kerana kaedah hibah menggalakkan kelestarian sosioekonomi dengan memastikan ahli keluarga yang masih hidup tidak terbeban sekiranya berlaku kematian yang tidak dijangka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

sedania
                                          Datuk Azrin Mohd Noor

 

 

Tambah Azrin, penggabungan perkhidmatan hibah akan meningkatkan kejayaan jangka panjang segmen fintech Sedania, kerana hanya 0.2% daripada 15 juta umat Islam di Malaysia telah melaksanakan hibah setakat ini.

 

Katanya, jumlah aset tidak dituntut negara berjumlah RM70 bilion setakat ini, yang mana majoritinya milik orang Islam. 

 

Melangkah ke hadapan, ini berpotensi membuka peluang untuk menembusi pasaran-pasaran global yang mempunyai jumlah penduduk umat Islam seramai 3 bilion, katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Nisa Ismail pula berkata, tambahan terbaharu kepada portfolio penyelesaian fintech patuh syariah mereka membolehkan pihaknya menyediakan rangkaian produk kewangan Islam yang lebih luas secara digital, yang mana dalam kes ini platform hibah digital untuk institusi perkhidmatan kewangan (FSI) tempatan.

 

“Bersandarkan rekod prestasi yang mantap dalam ruang teknologi kewangan Islam, Sedania As Salam akan berusaha untuk membangunkan dan melaksanakan sistem automatik digital untuk hibah yang membolehkan operasi yang cekap dan menguntungkan untuk Wasiyyah Shoppe, sekaligus meningkatkan pulangan pelaburan kami dalam jangka panjang.

 

 

sedania
                                              Nisa Ismail

 

 

“Ini mewakili pembangunan sinergi yang kukuh kerana kami boleh menawarkan platform hibah digital kepada institusi kewangan sebagai perkhidmatan nilai tambahan dalam perancangan harta pusaka untuk pelanggan Islam mereka yang membeli aset seperti hartanah.

 

“Sebagai pemboleh teknologi lestari kepada hampir 95 FSI di seluruh negara melalui perbankan digital & inisiatif komoditi Murabahah, kami boleh menggabungkan keupayaan kami dengan Wasiyyah Shoppe untuk membolehkan kelestarian dari perspektif sosial dan ekonomi," katanya.

 

Katanya, melalui kesedaran yang lebih baik dan peningkatan penggunaan hibah, pihaknya boleh meningkatkan celik kewangan dan rangkuman kewangan, sekaligus membantu orang ramai menjaga kekayaan dan aset mereka dengan lebih baik.

 

Wasiyyah Shoppe telah muncul sebagai syarikat amanah patuh syariah yang terbesar di Malaysia.

 

Menjelang 2025, ia akan menyelesaikan pewarisan aset bernilai RM35 bilion yang telah dirancang dan diamanahkan oleh pelanggan untuk dilaksanakan selepas kematian mereka. - DagangNews.com