Sedania sedia pacu pertumbuhan Wasiyyah Shoppe menerusi penyelesaian digital inovatif | DagangNews Skip to main content

Sedania sedia pacu pertumbuhan Wasiyyah Shoppe menerusi penyelesaian digital inovatif

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 6 Mac - Anak syarikat fintech Sedania Innovator Bhd, Sedania As Salam Capital Sdn Bhd akan memangkinkan potensi pertumbuhan syarikat amanah patuh syariah, Wasiyyah Shoppe Bhd dengan menyediakan penyelesaian digital yang inovatif kepada rangkaian luas institusi perkhidmatan kewangan (FSI).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Nisa Ismail berkata, pihaknya boleh menyerlahkan potensi penyelesaian pewarisan Islam Wasiyyah Shoppe melalui rekod prestasi kukuh yang dibina bersama 95 rakan kongsi FSI.

 

“Kerjasama ini melengkapkan keupayaan Wasiyyah Shoppe dan membolehkannya berkembang lebih jauh. Setakat ini, Wasiyyah Shoppe menjana pendapatan sekitar RM21 juta setahun daripada pasaran runcit melalui 2,700 ejen aktifnya. 

 

"Dengan memberikan Sedania As Salam eksklusiviti sebagai rakan kongsi korporat, kami boleh memacu perniagaan perusahaan dan FSI untuk Wasiyyah Shoppe," katanya selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Wasiyyah Shoppe, di sini hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Sedania Innovator, Tan Sri Abdul Halim Ali; Pengerusi Wasiyyah Shoppe, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin.

 

Perkembangan terbaru ini adalah hasil daripada penyempurnaan pengambilalihan 20% pemilikan dalam Wasiyyah Shoppe pada 1 Mac 2023.

 

Di bawah perjanjian perkongsian tersebut, Sedania akan menerokai pasaran hartanah Islam yang sedang berkembang bernilai kira-kira RM200 bilion, dengan memperkenalkan platform hibah digital hujung ke hujung yang lengkap dan mampu meningkatkan jangkauan serta kesedaran instrumen hibah sebagai perancangan harta pusaka serta pewarisan Islam dalam kalangan masyarakat Islam.

 

 

wasiyyahxsedania
(Dari kiri) Tan Sri Abdul Halim Ali, Nisa Ismail, Ariffin Sabirin dan Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman bergambar selepas memeterai MoU antara Sedania As Salam dan Wasiyyah Shoppe di Petaling Jaya, Selangor pada 6 Mac 2023. - Gambar DagangNews

 

Kedua-dua pihak akan memainkan peranan dalam membantu negara menangani peningkatan aset tidak dituntut milik orang Islam di Malaysia berjumlah kira-kira RM70 bilion.

 

Tambah Nisa, pasaran hartanah Islam hanyalah titik permulaan bagi pihaknya dan akan memperkenalkan lebih banyak penyelesaian digital yang inovatif untuk Wasiyyah Shoppe, yang kini menawarkan lebih daripada 40 penyelesaian.

 

Beliau menjangkakan akan memperoleh sebahagian besar daripada pasaran hartanah Islam tahun ini kerana hanya 0.2% daripada 15 juta umat Islam Malaysia telah melaksanakan hibah setakat ini.

 

Ariffin pula berkata, dengan memanfaatkan hubungan kukuh Sedania As Salam dengan FSI Malaysia, pihaknya boleh membuka peluang besar bagi umat Islam untuk melindungi kekayaan mereka dan menerima kemudahan warisan sepenuhnya untuk penerima yang dinamakan.

 

 

wasiyyahxsedania

 

 

“Dengan gabungan keupayaan penyedia platform digital yang mantap dan syarikat pemegang amanah terkemuka, kami juga boleh membina potensi kejayaan daripada pasaran hartanah Islam dan mengembangkan lagi ke arah menyediakan hibah untuk produk perbankan runcit lain dalam masa terdekat," katanya. 

 

Di bawah perjanjian tersebut juga, Sedania As Salam akan menjadi rakan kongsi korporat eksklusif untuk segmen FSI serta perusahaan untuk memperkenalkan hibah, perkhidmatan amanah dan perkhidmatan pengurusan harta pusaka Islam yang lain.

 

Ia juga akan menjadi penyedia platform digital untuk memudahkan pewarisan Islam, serta bekerjasama rapat dengan FSI untuk mengesahkan keperluan mereka tentang pembolehubah perniagaan dan sistem platform. - DagangNews.com