Scientex mengorak langkah di Indonesia dengan projek usahasama bina rumah mampu milik | DagangNews Skip to main content

Scientex mengorak langkah di Indonesia dengan projek usahasama bina rumah mampu milik

Dari kiri Koay Teik Chuan, Lim Peng Jin, Felix Widjaja, David Sudjana, Toshihiko Muneyoshi dan Masanobu Kamiyama di Jakarta, baru-baru ini.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Mac - Scientex Bhd menjalin usaha sama (JV) dengan Mustika Land dan Creed Group dari Jepun, menandakan usaha sulungnya membina rumah mampu milik di Indonesia.

 

Scientex berkata anak syarikatnya Scientex Quatari Sdn Bhd (STX) menjalin kerjasama dengan PT Graha Mustika Tamansari dan Creed Property PH-1 Pte Ltd untuk membentuk syarikat JV.

 

PT Graha akan memegang 60% kepentingan, manakala STX dan Creed Property masing-masingnya akan memiliki 20%.

 

“Syarikat JV seterusnya akan memperoleh tanah daripada PT Graha untuk pembangunan Fasa 1 Graha Mustika Tamansari.

 

"Ia akan membangunkan perbandaran Graha Mustika Tamansari di Bekasi, Greater Jakarta. Fasa 1 melibatkan pembangunan 400 rumah tanah mampu milik dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak AS$19 juta (kira-kira RM85.5 juta)," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex Lim Peng Jin berkata syarikat itu kini bersedia untuk memulakan strategi "rentas sempadan" untuk menembusi pasaran baharu di Asia Tenggara dan memenuhi permintaan serantau.

 

Lim berkata Scientex akan membawa kepakarannya yang terbukti dalam membangunkan perbandaran berskala besar dengan kualiti dan kecekapan berdasarkan teknologi bangunan buatan sendiri syarikat.

 

"Visi jangka panjang kami adalah untuk mengembangkan jenama Scientex kami dalam sektor pembangunan hartanah Indonesia, dan berkongsi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman rumah mampu milik kami di rantau ini," tambahnya.

 

Bekasi terletak kira-kira 24 kilometer dari Jakarta Barat dan mempunyai penduduk seramai 3.16 juta.

 

Graha Mustika Tamansari seluas 16.1 hektar merupakan pembangunan perbandaran keempat yang diusahakan oleh

 

Mustika Land di sepanjang Jalan Lingkaran Luar Jakarta 2, sebuah jalan tol utama dalam pembinaan yang menghubungkan pelbagai bahagian di Jabodetabek.

 

Scientex berkata syarikat JV itu akan membangunkan Fasa 1 Graha Mustika Tamansari seluas kira-kira 12 ekar pada 2023, dengan sasaran siap pada 2025.

 

"Rumah mampu milik itu dianggarkan berharga sekitar 500 juta rupiah, dan akan menyediakan kehidupan moden dan selesa untuk keluarga yang tinggal di Bekasi serta bekerja di Daerah Pusat Perniagaan Jakarta dan kawasan perindustrian Cikarang-Karawang yang berdekatan," ujarnya.

 

Yang turut hadir pada majlis memeterai usaha sama itu ialah Pengarah Eksekutif Scientex Berhad, Koay Teik Chuan; CEO Mustika Land David Sudjana; Pengarah Kewangan Mustika Land Felix Widjaja;  Pengasas & Pengarah Urusan Kumpulan Creed Toshihiko Muneyoshi dan Pengarah Urusannya, Masanobu Kamiyama. - DagangNews.com