SCIB teroka penggunaan teknologi percetakan 3D dalam industri pembinaan | DagangNews.com Skip to main content

SCIB teroka penggunaan teknologi percetakan 3D dalam industri pembinaan

KUALA LUMPUR 4 Okt - Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Industrialised Building System Sdn. Bhd. (SIBS) melancarkan rumah contoh yang dibina menggunakan sistem percetakan 3D daripada COBOD International A/S, pakar pembinaan 3D yang berpangkalan di Copenhagen, Denmark.

 

Rumah contoh yang terletak di premis Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kampus Kuching, Sarawak itu dibina dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (Sarawak) Sdn. Bhd. (ABM), sebuah pusat penilaian dan latihan CIDB di Sarawak memenuhi keperluan pembangunan dan peningkatan kemahiran industri pembinaan negeri. 

 

SIBS terlibat terutamanya dalam pembekalan dan pemasangan komponen sistem bangunan perindustrian (IBS) serta memiliki mesin pencetak 3D yang menghasilkan komponen IBS.

 

Pengerusi SCIB, Abdul Hadi Abdul Kadir berkata, sistem percetakan 3D telah diperoleh sebagai sebahagian daripada inisiatif inovasi kumpulan dan untuk meneroka kemungkinan menggunakan teknologi itu dalam industri pembinaan domestik. 

 

"Pembinaan rumah contoh IBS menggunakan teknologi 3D telah memberikan kami pengetahuan dan pengalaman yang tidak ternilai.

 

"Ini akan membantu memudahkan pembangunan program latihan yang kami harap dapat ditawarkan kepada pekerja dalam industri pembinaan yang ingin meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh diiringi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

 

SCIB juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ABM semalam bersempena dengan majlis graduasi CIDB dan CIDB Technologies Sarawak untuk pelajar. 

 

Di bawah kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneroka dan mengenal pasti latihan dan penilaian untuk program dan kursus berkaitan IBS serta berkongsi maklumat, pengetahuan teknikal dan pengalaman profesional yang membawa kepada penubuhan kursus dan modul latihan dalam IBS yang boleh menambah nilai dan meningkatkan standard, kemahiran dan pemahaman pekerja binaan khususnya di Sarawak.

 

Sementara itu, Rosland berkata, penggunaan teknologi seperti pencetakan 3D datang pada masa perniagaan sedang diteliti untuk kesan operasi kumpulan terhadap alam sekitar dan masyarakat.
 

"Perniagaan mempunyai peranan penting dalam masyarakat dan bahagian pentingnya adalah untuk beroperasi secara bertanggungjawab," jelasnya. - DagangNews.com