Saham pengendali nombor ramalan kembali pulih pada sesi dagangan pagi | DagangNews Skip to main content

Saham pengendali nombor ramalan kembali pulih pada sesi dagangan pagi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Saham pengendali nombor ramalan (NFO) kembali pulih pagi ini selepas terkesan akibat pengumuman jumlah cabutan khas hanya dibenarkan sebanyak lapan kali setahun bermula 1 Januari 2023.

 

Dagangan sebelah pagi menyaksikan saham Sports Toto Berhad meningkat sebanyak tiga sen kepada RM1.63 dengan 588,600 saham didagangkan manakala Magnum Berhad mencatatkan peningkatan sebanyak satu sen kepada RM1.30 dengan 2.29 juta unit bertukar tangan. 

 

Pada sesi penutup dagangan semalam, saham Magnum menjunam sebanyak tujuh sen kepada RM1.29 dengan 6.2 juta saham bertukar tangan manakala Sports Toto juga mencatatkan penurunan sebanyak tujuh sen kepada RM1.60 dengan 2.95 saham didagangkan.

 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat khas Kabinet mengumumkan bahawan hanya lapan cabutan khas dibenarkan setahun berbanding 22 sebelum ini.

 

Sebelum ini, semasa di bawah pemerintahan Pakatan Harapan, NFO dibenarkan menjalanka sebanyak lapan cabutan sebelum dinaikkan kepada 22 pada 2021.

 

Sementara itu, dalam satu nota kajian hari ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan impak pendapatan terhadap Sports Toto adalah tidak ketara memandangkan jualan yang lebih rendah yang dicatatkan untuk cabutan istimewa berbanding dengan cabutan biasa.

 

"Pemain biasanya lebih suka bermain cabutan biasa yang diadakan pada Rabu, Sabtu dan Ahad, manakala cabutan istimewa diadakan pada hari Selasa terpilih seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

 

Memandangkan cabutan khas mempunyai cukai yang lebih tinggi daripada cabutan biasa, ini mengakibatkan impak negatif kepada pendapatan bersih bagi bahagian jualan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM2.27 untuk Sports Toto. - DagangNews.com