Skip to main content

Risiko jangkitan COVID-19 pada hari mengundi adalah rendah - Prof.Datuk Dr. Adeeba

Oleh Halina Mohd Noor

KUALA LUMPUR 17 Nov - Orang ramai tidak perlu bimbang dengan risiko jangkitan COVID-19 pada hari mengundi yang dijadualkan pada Sabtu ini kerana proses pengundian dibuat di kawasan terbuka.

 

Paling mustahak, orang ramai perlu menjaga SOP dengan memastikan memakai mask atau topeng muka, jaga penjarakkan sosial dan jangan berkumpul beramai-ramai di satu tempat.

 

Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Penyelidik Utama UMVOICE, Prof.Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, orang ramai yang masih belum mendapatkan vaksin sebaiknya mendapatkan suntikan pertama dan kedua secepat mungkin.

 

Risiko jangkitan COVID-19 kata beliau, agak rendah kerana bila beratur, pengundi akan berada di tempat terbuka dan dalam jarak yang ditentukan. 

 

“Jumlah mereka yang masuk untuk mengundi pun tidak ramai pada satu masa manakala pegawai pun duduk agak jauh antara satu sama lain.

 

“Cuma berhati-hati ketika berkempen atau berceramah kerana ramai yang tidak menjaga jarak sosial dan meningkatkan risiko jangkitan. 

 

“Sekiranya tidak sihat, jauhkan daripada bersama orang lain atau berkumpul dengan orang sekeliling,” katanya pada sesi siaran langsung Bernama TV, ‘Malaysia Petang Ini’ bertajuk PRU15: Mengundi dengan Selamat di sini pada Rabu.

 

 

dagangnews

 

 

Dr Adeeba yang juga Ahli Majlis Pemulihan Negara dan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, berkata mengundi adalah satu tanggungjawab semua rakyat dan kerajaan sudah melakukan pelbagai inisiatif untuk memastikan keselamatan mereka.

 

Jadi, katanya individu yang termasuk dalam kategori golongan rentan seperti warga emas berusia lebih 65 tahun ke atas, ibu hamil, mereka yang obes, perlu mendapatkan booster dan mengamalkan SOP semasa hari mengundi.

 

Ini kerana golongan ini lebih berisiko dijangkiti COVID-19 dan menunjukkan bilangan paling ramai maut akibat virus itu ketika wabak berkenaan menular dua tahun lalu.

 

“Bagi mereka yang berisiko, dapatkan vaksin pertama dan kedua.  Penghidap penyakit kronik seperti kencing manis, kanser dan menerima ubat penindasan imun (immune suppression) perlu lebih berhati-hati semasa keluar mengundi bagi mengelak jangkitan,” katanya. - DagangNews.com