RHB Investment unjur hasil suku keempat Sarawak Oil Palms lebih lemah | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur hasil suku keempat Sarawak Oil Palms lebih lemah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sarawak Oil Palms Bhd. dengan harga sasaran pada RM3 setelah syarikat perladangan itu merekodkan prestasi kewangan yang memenuhi jangkaan firma. 

 

Kumpulan merekodkan keuntungan teras sebanyak RM451.5 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, merangkumi 77% dan 90% unjuran firma dan konsensus bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22). 

 

Keuntungan bersih teras meningkat 60% tahun ke tahun berikutan harga purata minyak sawit dan isirung sawit yang lebih tinggi masing-masing sebanyak RM5,656 satu tan metrik dan RM3,968 satu tan metrik.

 

Menurut firma itu, pengeluaran meningkat pada suku ketiga memandangkan output buah tandan segar meningkat 18.6% suku ke suku dan 3.8% tahun ke tahun. 

 

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran buah tandan segar menurun dalam tempoh sembilan bulan ini sebanyak -6.8% tahun ke tahun, sebelum kembali meningkat kepada -5.5% dalam tempoh 10 bulan.

 

"Penurunan ini adalah di bawah jangkaan kami pada -4.9% tahun ke tahun dan pengurusan sebanyak -4% bagi FY22, memandangkan masalah kekurangan buruh masih berterusan, pada paras sekitar 30 hingga 35%.

 

"Walaupun pengurusan pada mulanya memberi panduan bahawa isu buruh akan diselesaikan menjelang akhir separuh kedua 2022 tetapi perkembangannya adalah perlahan kerana tempoh kemasukan pekerja baharu masih tidak menentu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, untung bersihnya susut 34.4% kepada RM82.34 juta daripada RM125.49 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan kos pengeluaran yang lebih tinggi ekoran peningkatan kos baja dan buruh.

 

Pendapatan kumpulan pada suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM1.32 bilion daripada RM1.3 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Menurut RHB Investment, pengurusan terus menjangkakan pengeluaran buah tandan segar akan menurun sehingga 4% pada FY22.

 

"Kami turut mengekalkan jangkaan penurunan 4.9% bagi tahun ini. Malah, kami juga mengurangkan unjurna pertumbuhan isirung sawit kepada -3% berbanding 3% tahun ke tahun setelah mengambil kiran pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya. 

 

Sehubungan itu, firma itu mengurangkan unjuran hasil bagi FY22 sebanyak 6% dengan menjangkakan hasil suku keempat yang lebih lemah memandangkan harga minyak sawit mentah semasa yang agak rendah manakala unjuran hasil bagi FY23 hingga FY24 dikekalkan.

 

Setakat 10.48 pagi ini, harga saham Sarawak Oil Palms kekal tidak berubah pada RM2.60 sesaham. - DagangNews.com