Pusat Perhubungan Alumni UPM sumbang 3,000 pakaian baharu kepada asnaf, anak-anak yatim | DagangNews Skip to main content

Pusat Perhubungan Alumni UPM sumbang 3,000 pakaian baharu kepada asnaf, anak-anak yatim

Prof Datuk Dr Roslan Sulaiman (tengah) bergambar bersama rakan-rakan strategik yang akan mengagihkan sumbangan pakaian kepada golongan memerlukan.

KUALA LUMPUR 22 Mac - Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama MyFundAction akan menyumbang sebanyak 3,000 helai pakaian baharu kepada golongan memerlukan terutamanya asnaf dan anak-anak yatim menjelang Hari Raya Aidilfitri.

 

Pakaian baharu itu merangkumi baju kanak-kanak, baju wanita dewasa dan pelbagai jenis tudung akan disumbangkan menerusi Program Alumni PUTRA Jannah.

 

Menurut Timbalan Pengarah, Pusat Perhubungan Alumni, Fahmi Azar Mistar, pihaknya menyifatkan program tersebut sebagai kerjasama bersama komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersifat menyeluruh dan meluas. 

 

“Kami mengambil pendekatan konsep ‘berkongsi rezeki’. Untuk memperluaskan lagi golongan yang dapat dibantu, kami turut melibatkan entiti-entiti lain di UPM selaku rakan strategik kami.  

 

"Lapan rakan strategik terdiri daripada Pejabat Pendaftar, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Kolej Sepuluh, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Pertubuhan Yayasan Salak dan Chapter Alumni Yosh UPM.

 

"Ia dilihat dapat melancarkan proses agihan menjelang Ramadan dan dijangka selesai sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya ketika majlis simbolik penyerahan sumbangan pakaian sempena Program Alumni PUTRA Jannah yang dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Roslan Sulaiman.

 

Turut hadir, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof Madya Dr Arba’ie Sujud. 

 

 

upm
Prof Datuk Dr Roslan Sulaiman (kiri) bersama Prof Madya Dr Arba’ie Sujud ketika Program Alumni PUTRA Jannah, baru-baru ini.

 

 

Tambah Fahmi Azar, jalinan bersama rakan strategik itu juga dilihat dapat memperkukuhkan hubungan antara pihak universiti dan alumni. 

 

"Ia seiring dengan slogan 'Eratkan Kerjasama Sesama Alumni’ yang mana program-program mesra alumni sama ada secara langsung ataupun tidak langsung akan terus diperluaskan pada masa akan datang dan setiap entiti mempunyai alumninya yang tersendiri," katanya.

 

 

upm

 

 

Program ini juga bertujuan membina jaringan industri dan masyarakat yang prihatin kepada pembangunan lestari menerusi sumbangan keperluan asas sebagaimana sasaran keberhasilan Pelan Strategik UPM 2021-2025. 

 

Selain itu, program ini juga bertepatan dengan hasrat Naib Canselor UPM dalam Naratif Naib Canselor 2023, ikhtiar ketujuh iaitu 'Menyatukan Kekuatan Alumni'.

 

UPM antara universiti yang mempunyai alumni teramai dan pastinya setiap daripada mereka mempunyai kekuatan dalam industri tersendiri serta perkongsian daripada mereka akan memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada universiti. 

 

 

upm

 

 

Program Alumni PUTRA Jannah yang dikendalikan oleh Pusat Perhubungan Alumni merupakan program perintis kepada program-program lain yang bakal menyusul, melibatkan masyarakat dan komuniti sepanjang Ramadan.

 

Antaranya, Program Musaadah Ramadan yang terbahagi kepada dua aktiviti iaitu Program Mawaddah Ramadan dan Tautan Mahabbah. - DagangNews.com