PublicInvest optimis dengan prospek Chin Hin dipacu pembukaan semula ekonomi | DagangNews Skip to main content

PublicInvest optimis dengan prospek Chin Hin dipacu pembukaan semula ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - Public Investment Research (PublicInvest) mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Chin Hin Group Bhd. dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM2.37 daripada RM1.90 sesaham sebelum ini memandangkan kumpulan merekodkan prestasi kewangan yang memenuhi jangkaan penganalisis. 

 

Menurutnya, kumpulan terus menyaksikan peningkatan dalam operasinya dengan kebanyakan perniagaan terasnya mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi. 

 

Katanya, skop peningkatan pendapatan kekal paling kukuh dengan hartanah yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.5 bilion dijangka dilancarkan dalam tempoh dua tahun akan datang dan masih yang belum dibangunkan lagi.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan anggaran pendapatan kumpulan tidak berubah, berdasarkan jangkaan momentum pertumbuhan yang lebih mantap (secara operasi) pada suku akan datang. 

 

"Harga sasaran terbitan jumlah bahagian kami dinaikkan kepada RM2.37 apabila kami membuat perubahan kepada peningkatan pegangan saham kumpulan dalam Chin Hin Group Property Bhd. dan (CHGP) dan mengambil kira pengambilalihan Signature International Bhd. (SIB) baru-baru ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Konglomerat pemaju bersepadu itu merekodkan untung bersih pada suku ketiga sebanyak RM16.41 juta, meningkat lebih enam kali ganda berbanding RM2.55 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 84.5% kepada RM418.12 juta.

 

Pembukaan semula ekonomi telah membantu meningkatkan pendapatannya terutama dalam segmen pengedaran bahan binaan dan perkhidmatan logisitik serta pembuatan konkrit.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022, untung bersihnya melonjak 281% kepada RM81.16 juta daripada RM21.32 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, apabila pendapatan meningkat 49.5% kepada RM1.12 bilion.

 

Menurut Public Investment, syarikat pembinaan milik 65% kumpulan, Kayangan Emas Group juga mempunyai nilai kontrak dalam tangan sebanyak RM1.1 bilion.

 

Katanya, pengambilalihan SIB baru-baru ini terhadap Corten Interior Solutions Pte Ltd dan Aereal Interior Solutions Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura pada harga RM160.5 juta, kedua-duanya dalam ruang perniagaan yang serupa dengan SIB tetapi dengan pendedahan serantau, disertakan dengan nilai kontrak yang tidak dibilkan sebanyak S$200 juta (RM620 juta).

 

"Ini adalah tambahan kepada milik SIB sebanyak RM720 juta. Kedudukan tunai syarikat bersekutunya, Ajiya Bhd. sebanyak RM130 juta (dan setara) kekal sebagai jumlah yang berguna yang boleh digerakkan ke arah aktiviti penggabungan/pemerolehan untuk meningkatkan pertumbuhan pada masa hadapan," katanya. 

 

Setakat 12.19 tengah hari, harga saham Chin Hin susut 14 sen atau 4.14% kepada RM3.24 dengan 2.05 juta saham diniagakan. -DagangNews.com