PRU15: Tiada lagi katak memporak-perandakan negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 22 October 2022

PRU15: Tiada lagi katak memporak-perandakan negara

 

 

 

PARTI mana yang akan menerajui kerajaan kini menjadi perhatian selepas tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah ditetapkan pada 19 November ini.

 

PRU15 bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi merebut 222 kerusi Parlimen, serta 42 kerusi Dewan Negeri Pahang, 15 kerusi DUN Perlis, dan 59 kerusi Dewan Negeri Perak.

 

Tidak seperti biasa, PRU15 kali ini tidak melibatkan kesemua negeri kerana banyak pihak membangkang dan kecewa kerana pilihan raya diadakan ketika negara dilanda musim tengkujuh yang diramalkan akan bermula pada pertengahan November ini.

 

Negeri yang dikuasai oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu serta negeri yang dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengadakan pilihan raya negeri tahun ini.

 

Sebaliknya mereka berkeputusan untuk melaksanakan pilihan raya pada tahun hadapan memandangkan mereka mempunyai masa sehingga pertengahan tahun 2023 untuk mengadakan pilihan raya.

 

Sabah, Melaka dan Johor juga tidak akan terlibat memandangkan Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor adalah terkecuali kerana telah melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan masih belum mencapai tempoh matang.

 

 

Eksponen

 

 

Kos Pilihan Raya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat anggaran peruntukan sebanyak RM1.01 bilion dalam menjayakan pilihan raya ini dan anggaran tambahan sebanyak RM300 juta untuk mengadakan pilihan raya negeri berasingan bagi enam negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

Tetapi kos mengadakan pilihan raya berkemungkinan meningkat jika diambil kira kos mengadakan pilihan raya negeri yang lepas seperti Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor  yang telah menelan belanja sebanyak RM420 juta.

 

Pertembungan Tiga Penjuru

Setelah sekian lama dalam 14 pilihan raya sebelum ini, pertembungan hanya melibatkan Barisan Nasional dengan pakatan pembangkang. Tetapi PRU15 bakal mencipta kelainan apabila ia bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru buat kali pertama.

 

Ini berikutan peralihan daripada dua gabungan parti politik kepada tiga gabungan parti politik.

 

Tambahan gabungan ini merujuk kepada Perikatan Nasional (PN), yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) diketuai oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang. PAS memilih untuk bersama PN untuk pilihan raya kali ini.

 

BN memutuskan untuk bergerak secara solo bagi mengharungi pilihan raya ini tanpa kerjasama Muafakat Nasional (MN).

 

Pertembungan ini juga bakal melibatkan parti MUDA yang diketuai oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan juga Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. GTA adalah gabungan dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

 

Mengikut perkembangan terbaru, GTA telah menunjukkan kesediaan untuk pertimbang kerjasama dengan PN untuk mengharungi PRU15. Jika ini berlaku, ia perlu diberi perhatian oleh BN dan PH.

 

MUDA pula telah disahkan akan bersama PH pada pilihan raya kali ini.

 

 

Eksponen

 

 

Tiada Lagi Katak dan Golongan Muda Bakal Beraksi

Dijangkakan sebanyak 21 juta pengundi berdaftar bakal terlibat dalam PRU15.

 

Dengan pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti, PRU dilihat mampu mengubah persepsi golongan “pengundi atas pagar” kerana mereka tahu apa yang berlaku pada PRU lepas tidak akan berulang lagi memandangkan semua calon PRU15 faham akan risiko yang bakal dihadapi jika mereka memilih untuk menjadi “katak”.

 

Undang-undang Akta Anti Lompat Parti telah berkuat kuasa pada 5 Oktober iaitu lima hari sebelum Perdana Menteri mengumunkan parlimen dibubarkan.

 

PRU15 kali ini juga dilihat menarik dengan penglibatan golongan muda  yang mewakili kumpulan umur 18-20 tahun.

 

Ini menjadikan golongan pengundi muda menjadi tumpuan dan sasaran baharu kerana mengikut statistik, jumlah pengundi muda berdaftar pada PRU15 membentuk ±16-peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

 

Berdasarkan peratusan pecahan kaum, majoriti pengundi muda ini terdiri dari kalangan kaum Melayu (60 peratus) diikuti Cina (25 peratus), India (7.5 peratus) dan Bumiputra Sabah dan Sarawak (7%).

 

Untuk PRU15 ini, sasaran utama bagi setiap gabungan parti politik adalah bukan pengundi muda. Ini kerana, mengikut peratusan pengundi berdaftar tertinggi adalah dari kaum Melayu.

 

Jelas menunjukkan bahawa gabungan parti politik bertanding tidak mempunyai pilihan jika mereka mahukan kemenangan dominan pada PRU kali ini dengan kembali meraih sokongan dan keyakinan daripada pengundi Melayu.

 

Sokongan daripada pengundi Melayu yang secara majoritinya menetap di luar bandar dan bandar bakal menjadi faktor penentu kemenangan gabungan parti dalam PRU15 ini.

 

Kawasan di mana pengundi Melayu menjadi minoriti juga menjadi cabaran buat gabungan parti politik seperti BN dan PN. Ini kerana berdasarkan PRU lepas, PH mencatat rekod yang baik dengan mendominasi kemenangan di kawasan ini.

 

 

Eksponen

 

Calon Perdana Menteri

Tiga individu yang dipercayai berpotensi dijadikan sebagai calon Perdana Menteri untuk memimpin negara pasca PRU15 iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari BN, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari PN dan Ketua Pembangkang dari gabungan PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dilaporkan bersedia untuk memikul tanggungjawab memimpin kerajaan buat kali ketiga jika diperlukan.

 

Parti Mana Bakal Dominan?

BN dilihat mempunyai peluang yang cerah rentetan kemenangan besar di PRN Melaka dan Johor. Kemenangan ini boleh dijadikan sebagai penanda aras serta dorongan kepada BN untuk mengulangi prestasi cemerlang pada PRU15 kali ini.

 

Dengan ketiadaan PAS yang telah bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dengan bersama PN pada pilihan raya kali ini, BN yang diketuai oleh UMNO memutuskan untuk bergerak solo dengan mengetengahkan 'nama besar' bagi merebut kerusi Parlimen dan menjadi parti yang dominan pada PRU15 kali ini.

 

Ini tidak menjadi halangan kepada BN kerana mereka merupakan gabungan parti politik tertua buat semua masyarakat dalam Malaysia yang terdiri daripada berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya dan multi etnik.

 

Dengan kehadiran golongan pengundi baharu dan majoriti pengundi terdiri dari kalangan kaum Melayu, BN juga perlu bekerja keras untuk meraih dan mengembalikan keyakinan pengundi bahawa mereka adalah parti yang boleh membawa perubahan terutamanya terhadap kestabilan politik, kesejahteraan negara, membantu rakyat dalam menyelesaikan semua isu yang membelenggu dan memastikan kemajuan ekonomi berada di landasan yang betul.

 

 

Eksponen

 

 

Tempoh berkempen 14 hari yang ditetapkan untuk pilihan raya kali ini juga harus digunakan sepenuhnya dan sebaiknya oleh BN dengan memilih platform yang sesuai dan seimbang dalam usaha memastikan kempen berjaya dilaksanakan dan dijayakan dengan baik.

 

Pada pilihan raya kali ini, BN menggunakan tema "Kemakmuran dan Kestabilan" sebagai teras kempen sepanjang tempoh berkempen pada PRU15.

 

Penambahbaikan strategi samada secara tradisional atau melalui penggunaan media sosial dilihat mampu membantu BN dalam PRU kali ini.

 

Kempen melalui media sosial secara agresif perlu dilakukan oleh BN sepenuhnya untuk memenangi hati dan minda pengundi kerana landskap politik sekarang adalah berasaskan demokrasi digital ditambah kehadiran generasi-Z (pengundi muda digital celik teknologi).

 

Berdasarkan kajian, pengguna media sosial lebih tertarik kepada maklumat-maklumat yang bersifat negatif, seperti berita palsu dan fitnah. Penyebaran berita palsu dan fitnah melalui media sosial juga dianggarkan meningkat pada PRU kali ini.

 

BN juga perlu membuktikan kepada pengundi bahawa mereka lebih matang dan beretika di media sosial dengan hanya menyampaikan maklumat yang berdasarkan fakta dan disokong oleh data.

 

Ini sekali gus bakal meningkatkan kredibiliti BN sebagai gabungan parti yang tepat untuk memenangi PRU dan membentuk kerajaan secara dominan.

 

BN juga perlu memastikan setiap tuduhan yang tidak berasas diselesaikan dengan cepat bagi memastikan pengundi tidak terpengaruh dengan tuduhan liar yang jahat dalam usaha menjatuhkan mereka.

 

 

Eksponen

 

 

Buat masa ini belum ada lagi manifesto politik telah dikeluarkan oleh mana-mana gabungan parti yang bertanding.

 

Tetapi BN melalui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan dan juga berjanji bahawa Bajet 2023 yang merekodkan peruntukan sebanyak RM372 bilion (pertambahan RM40 bilion lebih banyak jika dibandingkan dengan bajet 2022) akan dilaksanakan jika BN jika BN diberi peluang dan mandat untuk membentuk kerajaan.

 

Ini jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan BN dalam memastikan negara berada pada landasan ekonomi terbaik pada tahun hadapan. Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan juga mempunyai peruntukan dan kemampuan untuk melaksanakan Bajet 2023 ini.

 

Pengakhiran Drama Politik Malaysia?

Berdasarkan PRN di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor serta sentimen politik tanahair sekarang, gabungan parti yang mempunyai kemampuan untuk memenangi PRU15 kali ini adalah BN diikuti PH, PN dan GTA.

 

Kemenangan ini juga mungkin berubah kerana ia bergantung kepada keberkesanan kempen yang bakal mempengaruhi keputusan 21 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRU15 ini.

 

Merekalah yang bakal menentukan gabungan mana yang bakal diberi mandat untuk membentuk kerajaan.

 

 

Eksponen

 

 

Buat gabungan parti politik yang memenangi PRU15. Hentikan segala drama ketidakstabilan politik merebut kuasa! Rakyat sudah muak dengan drama yang berulang-ulang pada penggal lepas.

 

Negara benar-benar memerlukan kepimpinan bertaraf dunia berlatarbelakangkan pendidikan, pengalaman yang luas serta berdaya tahan dan berani menghadapi apa sahaja cabaran dalam dunia moden hari ini! – DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags