PRU15: Pilih yang telah terbukti mampu tadbir negara, bukan mungkir janji | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 16 November 2022

PRU15: Pilih yang telah terbukti mampu tadbir negara, bukan parti mungkir janji

 

 

TIDAK dinafikan, apa jua bentuk platform mahupun media telah mengubah strategi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada kali ini.

 

Gabungan parti politik yang bertanding perlu memanfaatkan sepenuhnya penggunaan pelbagai platform dan media kerana pengundi pada PRU kali ini yang terdiri daripada generasi berbeza iaitu boomers, generasi X, milenial dan generasi Z.

 

Kebanyakan boomers mungkin lebih menggemari kempen politik secara tradisional seperti mendapatkan sumber maklumat dari akhbar, menonton televisyen dan dengan menghadiri ceramah kempen pilihan raya. Tidak dinafikan, ada di antara mereka yang celik digital dan mendapatkan maklumat dari internet.

 

Manakala generasi X dan milenial pula masih mendapatkan maklumat seperti boomers dan lebih sedikit ke hadapan dengan menggunakan sosial media serta internet untuk mendapat maklumat tambahan dan berkaitan.

 

Tetapi lain jika dibandingkan dengan generasi Z, yang sinonim dengan penggunaan teknologi dan boleh dikatakan mempunyai tahap celik digital yang lebih ke hadapan berbanding generasi sebelumnya. Mereka lebih berminat dengan media baharu seperti TikTok, Instagram, Twitter dan YouTube. Generasi ini juga perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan suara baharu pada PRU15 ini.

 

Ada yang mengatakan proses demokrasi di Malaysia sudah bertambah matang sejak Tsunami PRU pada tahun 2008 dan perubahan mandat kerajaan kepada gabungan pembangkang pada PRU14.

 

 

Eksponen

 

 

Tetapi! Adakah kempen politik yang dijalankan oleh gabungan parti politik menunjukan kematangan mereka dalam berkempen?

 

Sedar atau tidak, inilah realitinya, kebanyakan maklumat yang disampaikan melalui kempen politik boleh dikatakan disampaikan cenderung dalam bentuk negatif.

 

Kenapa? Ini adalah salah satu strategi gabungan parti politik bertanding kerana mereka percaya ramai akan memberi perhatian terhadap maklumat yang negatif.

 

Maklumat Negatif Membentuk Kecenderungan Negatif

Mengapa ramai memberi perhatian yang lebih kepada maklumat yang negatif?

 

Berdasarkan kajian yang telah banyak dijalankan, dalam pelbagai peristiwa terutamanya yang melibatkan psikologi, kebanyakan individu lebih cenderung untuk memberi tumpuan kepada perkara yang negatif berbanding positif kerana ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk tidak mengulangi perkara yang sama hasil dari pengalaman negatif dialami oleh individu terbabit.

 

Ini turut disokong melalui kajian yang dilakukan oleh pemenang anugerah Nobel iaitu Amos Tversky and Daniel Kahneman bertajuk Choices, Values, and Frames pada tahun 1984 mendapati aspek negatif (merujuk kepada maklumat negatif) lebih cenderung mempunyai pengaruh yang besar jika dibandingkan dengan aspek positif oleh seseorang individu apabila membuat sesuatu keputusan.

 

Dari perspektif sains, kajian dijalankan telah membuktikan bahawa otak manusia lebih cepat bertindak balas terhadap sesuatu rangsangan negatif berbanding positif.

 

Ini terjadi disebabkan maklumat negatif telah menyebabkan lonjakan aktiviti secara besaran yang tertumpu pada bahagian pemprosesan maklumat kritikal otak yang menyebabkan tingkah laku, sikap dan tindak balas terbentuk adalah berdasarkan pengalaman lepas hasil maklumat negatif.

 

Sebagai contoh, sebaik penamaan calon selesai, berita dan maklumat negatif mula tersebar dengan cepat melalui sosial media untuk memberi gambaran yang negatif terhadap calon yang bertanding.

 

Apabila ini berlaku, tanggapan orang ramai (pengundi) mula berubah dan mula terpengaruh menyebabkan calon yang berpotensi, amanah, jujur dan berdedikasi bekerja untuk rakyat hilang kewibawaan mereka.

 

 

Eksponen

 

 

Kaji, Tapis Maklumat, Dapatkan Semakan Fakta, Pastikan Sahih!

Dalam membuat pilihan yang tepat, pastikan maklumat negatif yang diterima adalah benar-benar sahih. Jangan biarkan mana-mana media mempengaruhi pemikiran, tingkah laku dan emosi kita sebagai pengundi untuk memilih calon yang tepat.

 

Sedang asyik kita mencari maklumat dan perkembangan terkini mengenai PRU15, cuba elakkan penggunaan media yang berlebihan kerana ia bakal memberi kesan kepada mental.

 

Ini kerana penggunaan media yang berlebihan sama ada secara aktif atau pasif serta pendedahan berterusan kepada maklumat negatif boleh memberi kesan yang teruk dan boleh menyebabkan kerosakan kepada otak.

 

Apabila kita membaca, mendengar atau menonton sesuatu berita, otak akan mula aktif, merangsang beberapa bahagian saraf dan mula melepaskan hormon tekanan seperti kortisol dan adrenalin.

 

Tetapi apabila penggunaan media yang berlebihan serta pendedahan kepada maklumat negatif berlaku secara berterusan, ia mula mengakibatkan krisis, mengundang kebimbangan yang menyebabkan ketakutan melampau.

 

Ini adalah kebiasaan yang terjadi pada musim pilihan raya umum di mana banyak fitnah dan tohmahan liar yang di buat. Jika ada yang termakan dengan maklumat negatif seperti ini, mereka mula berasa bimbang serta takut dan menyebabkan mereka cenderung untuk membuat pilihan yang salah.

 

Cara yang sihat untuk mengelakkan tertipu dengan maklumat negatif yang tidak berasas adalah hanya bergantung kepada media atau saluran media yang boleh dipercayai, mempunyai wartawan berintegriti serta berpengalaman (melakukan penyelidikan dan menyediakan berita berdasarkan fakta dan angka) dan memberikan perspektif yang seimbang.

 

 

SPR

 

 

Mandat Rakyat, Pastikan Pilihan Tepat

Buat semua pengundi dari setiap generasi, mandat telah dipulangkan kepada anda! Cuti khas juga telah diumumkan untuk anda semua pulang dan keluar menunaikan kewajipan pada negara.

 

Tapis maklumat, pastikan semua maklumat datang dari sumber yang sahih untuk kita semua membuat pilihan yang tepat!

 

 

Eksponen

 

 

Tidak kisah calon dari mana gabungan parti politik yang bertanding, pastikan calon yang kita usahakan untuk menang membawa suara kita ke Parlimen dan yang paling penting! membawa negara kembali ke arah kestabilan dan kemakmuran!

 

Pilihan di tangan anda! Selamat mengundi buat seluruh rakyat Malaysia!  - DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Eksponen
 
Portfolio Tags