PRU15: Kami akan soal siasat Azam Baki jika PH menang pilihan raya, kata Rafizi | DagangNews Skip to main content

PRU15: Kami akan soal siasat Azam Baki jika PH menang pilihan raya, kata Rafizi

JOHOR BARU 17 Nov - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan dipanggil untuk disoal siasat jika Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Rafizi Ramli.

 

Beliau berkata, Azam akan bertanggungjawab terhadap semua dakwaan penyelewengan yang dilakukan SPRM berhubung serbuan dan rampasan pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd.

 

Timbalan presiden PKR itu kemudian berkata bahawa Invoke Solutions - firma data yang diasaskannya - telah diserbu oleh SPRM dua kali selama dua hari berturut-turut.

 

“Kami akan menemuinya (Azam) di mahkamah pada Khamis (hari ini) kerana dokumen yang dirampas mengandungi maklumat sensitif berkaitan pelanggan, yang dilindungi di bawah undang-undang kerahsiaan pelanggan.

 

“Semua maklumat itu perlu mendapat kelulusan Mahkamah Tinggi terlebih dahulu. Awak tidak boleh datang dengan waran geledah dan memeras ugut kami," katanya semasa menyampaikan ceramah politik PH "Kita Boleh" di Dataran Larkin, malam tadi, lapor The Star.

 

Pengarah pilihan raya PKR itu menambah, tindakan SPRM tidak lebih daripada penganiayaan politik yang bertujuan untuk menjejaskan imej Pakatan sebelum pilihan raya akan datang.

 

“Jika SPRM mahu menjalankan siasatan, menyoal siasat kakitangan saya, meminta dokumen, atau merampas apa-apa, sila ikut undang-undang,” kata Rafizi.

 

Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan pengarah kanan bahagian siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan serbuan yang berlaku pada 11.30 pagi itu.

 

“Semua dokumen berkaitan telah diambil untuk semakan, susulan laporan yang dikemukakan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) minggu lepas mengenai nilai aset bersih RM18.85 juta milik Rafizi.

 

“Selepas itu, tindakan lanjut akan diambil bergantung kepada dokumen yang diperiksa,” katanya kepada akhbar harian itu.

 

Pada 15 Nov lepas, pada ceramah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Rafizi mendedahkan bahawa Invoke Solutions telah "diserbu" SPRM. - DagangNews.com